Oleh Nurdiyanah R. –
Hasil tidak akan pernah mengkhianati usaha. Cepat atau lambat, setiap usaha pastinya akan membuahkan kejayaan. Sememangnya bukan mudah untuk berdiri di tengah pentas persembahan tanpa adanya keyakinan dan keberanian lebih-lebih lagi ketika menyampaikan pidato di khalayak ramai.
Oleh yang demikian nilai penghayatan bait-bait kata di samping menekankan nada suara, intonasi dan mimik muka yang bersesuaian di sepanjang persembahan menjadi antara perkara terpenting untuk pemidato yang baik.
“Anggap saja apabila menyampaikan pidato itu kita seperti membawa watak dalam seni lakonan di mana kita perlu menjiwai segala isi tersurat dan tersirat yang terkandung dalam pidato.
“Sebaik-baiknya, kita juga perlu menghafal setiap hasil karya pidato yang ingin dibawakan agar lebih memperlihatkan kesungguhan ketika menyampaikannya di hadapan audiens,” kata juara Pertandingan Pidato Kebangsaan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, Tahun 2023, Awang Muhammad Iqbaal Syakib bin Haji Suhib semasa berkesempatan ditemui penulis, baru-baru ini.
Dengan membawa tajuk pidato, ‘Hati Budi Melayu: Calak Bangsa Budiman’, Awang Muhammad Iqbaal telah menawan hati para hakim dengan memperolehi markah 93.5 peratus setelah bersaing dengan empat orang peserta yang tidak kurang hebatnya.
“Alhamdulillah, ia merupakan kali pertama saya muncul juara dalam pertandingan peringkat kebangsaan, di mana pada pertandingan sebelumnya saya hanya menjadi finalis,” taambahnya yang telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai $800, plak, sijil penghargaan dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pertandingan itu.
Sahut peluang kerana rindu
Mengongsikan pengalaman sebelum mengikuti pertandingan tahun ini, Awang Muhammad Iqbaal berkata, pada mulanya, beliau tidak berhasrat untuk menyertai pertandingan itu kerana ingin berehat seketika.
“Namun disebabkan kerinduan pada penulisan skrip, membuat penyelidikan mencari fakta dan sebagainya, saya akhirnya tekad untuk menyahut peluang pertandingan pada tahun ini,” ujarnya yang pada ketika itu berkesempatan mendaftar pada hari terakhir tempoh pendaftaran ditetapkan oleh pihak penganjur.
Dalam pada itu, beliau turut bersyukur kerana semasa menyertai Pertandingan Pengucapan Awam Bahasa Melayu Antarabangsa bagi Piala Perdana Menteri di Malaysia dua tahun lalu, beliau memperoleh banyak pengalaman bukan sahaja daripada hasil penyelidikan yang dilakukan, bahkan perkongsian pengetahuan daripada rakan-rakan peserta yang lain.
Selami skrip dengan jiwa
Awang Muhammad Iqbaal yang kini bertugas sebagai Pegawai i-Ready di Jabatan Kehakiman Negara menekankan lanjut khususnya dalam seni pidato atau pengucapan awam, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan dan maklumat mengenai topik yang diberikan atau dipilih untuk disampaikan.
“Bagi menyediakan skrip pidato yang baik, kita perlu mempunyai sumber-sumber bahan termasuklah membuat penyelidikan, mengumpul fakta dan data yang terkini dan relevan serta memilih perkataan yang sesuai untuk konteks dan ungkapan yang betul agar dapat difahami oleh orang ramai.
“Pastinya, kita tidak boleh memilih mana-mana perkataan dengan bersahaja atau sembarangan kerana kadang kala ada perkataan yang sesuai dalam penulisan namun jika disampaikan melalui pengucapan awam memberi makna yang berbeza,” tambahnya.
Cabar diri keluar dari zon selesa
Menyentuh perihal sesi latihan, Awang Muhammad Iqbaal berkata dirinya perlu mengimbangi antara kerja harian dan latihan di mana kebiasaannya sebelum hari pertandingan, beliau mendapatkan bantuan daripada mentor terdiri daripada golongan pensyarah dan mereka yang berpengalaman dalam bidang yang sama.
“Tahun ini, saya melakukannya sendiri kerana saya mahu keluar dari zon selesa dengan mencabar diri sendiri.
“Saya mengambil masa dua bulan untuk membuat persediaan, daripada mencari idea untuk rujukan dan sumber yang sesuai serta mengumpul data.”
“Walaupun saya bukan pakar bahasa, saya sentiasa menerapkan usaha untuk terus belajar dari pelbagai aspek bidang pidato di samping memperbanyakkan amalan membaca bahan-bahan ilmiah bagi mendapatkan idea-idea yang lebih bernas,” ujarnya.
Dalam pertandingan berkenaan, tempat kedua disandang oleh Dayang Seri Nur Wafiqah binti Seri Asnola dengan 88 peratus diikuti dengan Dayang Muslimah binti Mahadi di tempat ketiga dengan 87.5 peratus.
Manakala dua orang peserta telah menerima hadiah saguhati terdiri daripada Awang Abdul Mujib bin Awang Sh’minan dan Awang Mohammad Hazwan Nizam bin Ibrahim.
Dengan perlaksanaan pertandingan anjuran DBP melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa berkenaan, ia antaranya bertujuan sebagai salah satu usaha pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu di negara ini sekali gus memupuk kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap bahasa rasmi negara.
Selain itu, pengungkayahan per-tandingan itu juga diharap dapatmelatih dan melahirkan generasi remaja dan belia tanah air dalam pengucapan awam dan kepetahan berhujah menggunakan bahasa Melayu yang setentunya memperlihatkan identiti dan jati diri bangsa Brunei.
Mereka sebagai pelapis negara pada masa akan datang sememangnya juga menjadi kayu pengukur dalam usaha merealisasikan salah satu matlamat Wawasan Negara 2035 iaitu ‘Melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya’.