Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhammad Iqbal Syakib juara pidato Hari Kebangsaan ke-39

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Rokiah Mahmud

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Awang Muhammad Iqbal Syakib bin Haji Suhib menyandang juara setelah bersaing bersama empat peserta lain pada peringkat akhir Pertandingan Pidato Kebangsaan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, Tahun 2023, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada pertandingan yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh yang sekali gus menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada para pemenang dan peserta sagu hati serta hakim di akhir sesi pertandingan.

    Dalam pertandingan itu, tempat kedua dimenangi oleh Dayang Seri Nur Wafiqah binti Seri Asnola diikuti oleh Dayang Muslimah binti Mahadi di tempat ketiga.

    Manakala itu, dua orang peserta telah menerima hadiah sagu hati, iaitu Awang Abdul Mujib bin Awang Sh’minan dan Awang Mohammad Hazwan Nizam bin Ibrahim.

    Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapannya selaku pengerusi pertandingan berkata, usaha DBP dalam memperkasakan bahasa Melayu
    terus dipergiat dengan melaksanakan pelbagai kegiatan yang mampu meningkatkan penglibatan semua lingkungan masyarakat terutamanya golongan belia di negara ini.

    “Alhamdulillah, salah satu usaha strategik jabatan ini dalam mengupayakan pemerkasaannya adalah menerusi Pertandingan Pidato Kebangsaan. Dalam erti kata lain, penguasaan bahasa Melayu yang baik menerusi seni pengucapan awam juga turut memainkan peranan besar sebagai bahasa pengungkap ilmu,” ujarnya.

    Pada pertandingan itu, pemenang pertama membawa pulang wang tunai $800, pemenang kedua $600, dan $400 untuk pemenang ketiga, manakala itu, para peserta sagu hati menerima wang tunai $200.

    Di samping itu, plak, sijil penghargaan dan buku-buku terbitan DBP turut diberikan kepada kesemua peserta peringkat akhir pertandingan tersebut.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan hadiah kepada Awang Muhammad Iqbal Syakib selaku juara.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan hadiah kepada pemenang kedua, Dayang Seri Nur Wafiqah.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan hadiah kepada pemenang ketiga, Dayang Muslimah.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan bergambar ramai bersama para peserta peringkat akhir pertandingan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda