JOHOR BAHRU, 16 OGOS – Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke final acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis pada Oktober depan.
Beliau berkata kejohanan dunia keempat buat dirinya itu memang mencabar bukan sahaja kerana penampilan pertamanya dalam acara keirin di kejohanan berkenaan tetapi juga disebabkan ketiadaan jaguh Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang.
“Saya berlumba di peringkat antarabangsa sudah sekian lama, dan ini kejohanan dunia keempat saya, jadi harap dapat sesuatu yang positif kali ini.
“Bagi kejohanan kali ini sprint (pecut) dan keirin, keirin pertama kali (berentap dalam kejohanan dunia). Sebelum ini saya banyak fokus acara sprint untuk layak ke Olimpik dan keirin Datuk Mohd Azizulhasni berlumba, jadi selepas ini saya kena fokus untuk keirin juga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Johor Sukan SEA Vietnam 2021, Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Penyampaian Bantuan Pentadbiran Badan-Badan Gabungan MBNJ 2022, di sini malam tadi.
Atlet kelahiran Muar berusia 26 tahun yang meraih gangsa acara keirin di Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berkata beliau akan cuba sedaya upaya dan mahu mencabar dirinya untuk ke final acara keirin. – Bernama
