Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Muhammad Syahmi bin Muhammad Norawi dari Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Zon 1 Kampung Sengkarai, Daerah Tutong telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Azan Subuh bagi Belia Masjid Senegara Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi dengan memperoleh markah 91.5 peratus diikuti oleh Muhammad Ihtifazhuddin bin Suhaili dari Masjid An-Na’im, RPN Kampung Panchor Mengkubau selaku Naib Johan dengan markah 90.5 peratus, manakala tempat ketiga disandang oleh Mohammad Arsyad Shaliheen bin Haji Mohd Aslenan dari Masjid Kampung Kupang, Zon 2, Daerah Tutong yang meraih markah 90 peratus.
Pertandingan berkenaan berlangsung kelmarin bertempat di Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau, anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid An-Na’im, dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah-Daerah bersempena cuti persekolahan bulan Disember.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis adalah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Azan merupakan lafaz khusus dalam agama Islam yang menandakan masuknya waktu solat fardu serta menyeru umat Islam untuk berhimpun menunaikan solat secara berjemaah. Seruan azan juga melambangkan kesatuan serta mencerminkan kekuatan akidah, ibadah dan akhlak seorang Muslim. Laungan azan lima kali sehari memberi peringatan berterusan kepada umat Islam agar sentiasa memelihara ketertiban dan kesempurnaan dalam kehidupan seharian.
Seramai 19 orang belia berumur antara 12 hingga 17 tahun, mewakili zon dan daerah masing-masing termasuk wakil tuan rumah, menyertai pertandingan tersebut. Penganjurannya bertujuan menggalakkan golongan belia mendekati masjid dan memupuk amalan keagamaan yang kukuh dalam diri mereka. Pertandingan ini turut dihasratkan melahirkan muazin cilik yang berkualiti sebagai pelapis yang berkeupayaan menggalas amanah melaungkan azan dengan baik pada masa hadapan.
Selain itu, pertandingan ini membuka ruang kepada peserta untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat dalam seni azan, meningkatkan keyakinan diri mereka berkomunikasi di hadapan khalayak ramai serta memberi pendedahan mengenai fadilat azan dan iqamat dalam kehidupan seharian.
Turut hadir adalah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri; Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu Pemangku Penghulu Mukim Mentiri; Ketua-Ketua Kampung RPN Kampung Panchor Mengkubau, ibu bapa peserta, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah, serta jemaah masjid berkenaan.



