PHNOM PENH, 4 MEI – Tonggak pemain pertahanan skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili lega apabila penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA tidak berakhir dengan episod duka.
Pemain Terengganu FC berusia 20 tahun itu berkata kesilapannya menjaringkan gol sendiri ketika menentang Laos pada aksi sulung Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 semalam, hampir memusnahkan impian beliau untuk membuat debut yang sempurna.
Katanya kemenangan 5-1 yang dilakar pasukan negara telah menyelamatkan namanya yang berdepan kecaman sekiranya Malaysia gagal meraih keputusan positif pada pertembungan itu.
Pada aksi tersebut, Muhammad Ubaidullah yang meledak gol pembukaan negara seawal minit keempat, tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-21 ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang Phetdavanh Somsanid, sekali gus memberi gol penyamaan kepada Laos.
Bagaimanapun, skuad Harimau Muda bimbingan E. Elavarasan berjaya bangkit mencetak empat gol, masing-masing menerusi dua pemain gantian Muhammad Syahir Bashah dan Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal, selain dua jaringan sendiri Anantaza Siphongphan dan Phoutthavong Sangvilay.
“Perlawanan pertama biasanya susah tetapi kita berjaya meraih kemenangan untuk suntik motivasi pasukan dalam perlawanan seterusnya bagi saya ini permulaan yang baik,” kata Muhammad Ubaidullah.
Malaysia akan menentang Thailand pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Prince, Sabtu ini.
Malaysia dan Thailand yang baru bermain satu perlawanan, masing-masing meraih tiga mata di tempat kedua dan ketiga dalam saingan kumpulan. – Bernama