Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Faktor dalaman merupakan faktor yang menyumbang ke arah perubahan yang lebih baik dan untuk berubah ke arah yang lebih baik, perlu menjadi baik terlebih dahulu.
Menurut pandangan Allah S.W.T, terdapat dua ciri orang baik iaitu mengetahui peranan dan tanggungjawabnya sebagai Hamba Allah dan mengetahui peranan dan tanggungjawabnya sebagai khalifah.
Perkara berkenaan adalah antara petikan tazkirah subuh bertajuk ‘Berubah ke Arah yang Lebih Baik’ yang disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali yang juga merupakan Da’ie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) semasa Program ‘Masjidku Makmur Negara Berkat’ di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, kunci perubahan bermula daripada diri sendiri dan apa yang terpenting adalah berusaha dan berdoa.
“Jangan sampai umur kita habis dalam angan-angan dan khayalan semata-mata tanpa ada perubahan yang dihajatkan kerana Allah tidak akan memberi perubahan sebelum kita mahu dan memulakan serta berusaha untuk berubah,” tegasnya.

Hadir bersama-sama jemaah bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhomat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Program mingguan itu adalah bagi mengalu-alukan jemaah dalam meningkatkan kehadiran untuk memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu.
Program yang dikelolakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien itu turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara ‘Bandarku Ceria’, di ibu negara.
Ia adalah bagi memulakan langkah dan keceriaan hari dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.