Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhd Adibul Amin, Siti Noor Dzuhairah muncul johan

    Oleh Pg Fairol RMF

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Awangku Muhd Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki dan Hajah Siti Noor Dzuhairah binti Haji Awang Damit, masing-masing diumumkan sebagai johan qari dan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1438H/2017M.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke majlis pengumuman dan penyampaian hadiah pada hari ketiga musabaqah tersebut berlangsung di Dewan Plenari Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan Baginda Sultan ke Pusat Persidangan Antarabangsa dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017M serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

    Pada majlis berkenaan, Awangku Muhd Adibul Amin diumumkan sebagai juara qari setelah berjaya mendapat markah 91.3 peratus, diikuti oleh Awang Mohammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah di tempat kedua dengan 89.75 peratus dan tempat ketiga disandang oleh Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya dengan 89.5 peratus.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1438H/2017M.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1438H/2017M.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menganugerahkan piala kepada juara qari Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1438H/2017M.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menganugerahkan piala kepada juara qari Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1438H/2017M.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menganugerahkan piala kemenangan kepada Hajah Siti Noor Dzuhairah.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menganugerahkan piala kemenangan kepada Hajah Siti Noor Dzuhairah.

    Bagi kategori qariah, Hajah Siti Noor Dzuhairah muncul juara dengan 89.84 peratus diikuti oleh Hajah Nurfaezah binti Haji Emran dengan 88.42 peratus di tempat kedua dan Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya dengan 87.08 peratus di tempat ketiga.

    Terdahulu itu, majlis telah dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh qari jemputan dari Republik Arab Mesir, Syeikh Yasser Mahmoud Abdelkhalek Ahmed.

    Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin yang antara lain menyembahkan mengenai sejarah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa yang katanya tahun ini merupakan kali ke-57 diadakan.

    Yang Berhormat Pehin menyembahkan mengenai penghantaran johan musabaqah berkenaan, sejak tahun 1960, ke Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabagsa di Kuala Lumpur, Malaysia.

    Selama lebih 50 tahun penyertaan musabaqah yang berprestij di Kuala Lumpur itu, Yang Berhormat Pehin menyembahkan, Brunei telah 19 kali mendapat tempat iaitu dua kali sebagai johan, lima kali naib johan dan 12 kali menduduki tempat ketiga.

    “Maka kejayaan-kejayaan tersebut menunjukkan negara kita secara bermusim mampu melahirkan qari dan qariah yang dapat dihandalkan untuk menyaingi qari dan qariah luar negeri,” sembah beliau lagi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan titah sebelum pengumuman keputusan pertandingan tahun ini oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Majlis diikuti dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qari dan qariah sebelum Baginda Sultan berkenan menganugerahkan hadiah-hadiah cenderamata kepada kedua-dua johan, para peserta, hakim-hakim dan qari jemputan.

    Johan qari dan qariah menerima piala pusingan berserta wang tunai $7,000, hadiah iringan dan sijil serta Pakej Umrah Darussalam Holdings bernilai $4,000 tajaan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.

    Naib johan pula menerima wang tunai $5,000 dan tempat ketiga $3,000 berserta hadiah iringan dan sijil. Manakala peserta-peserta lain menerima hadiah penghargaan berupa wang tunai $1,500 berserta hadiah iringan dan sijil.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Pada tahun ini seramai 12 orang peserta bertanding di peringkat akhir iaitu lima orang qari dan lima qariah yang terpilih di peringkat separuh akhir kebangsaan dan dua orang peserta menunggu (johan qari dan qariah pada tahun lalu) yang telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada malam pertama dan malam ke dua musabaqah peringkat akhir kebangsaan tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda