Muhyiddin: Pastikan ekonomi negara di landasan betul

PUTRAJAYA, 6 JULAI – Memastikan ekonomi negara berada di landasan yang betul melalui pelaksanaan pakej rangsangan dan bantuan merupakan keutamaan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata antara langkah yang diperkenalkan kerajaan untuk merancakkan ekonomi negara adalah pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM260 bilion.

Bantuan yang diberikan akan dapat menjana semula kegiatan ekonomi dan menyediakan peluang lebih banyak kepada negara selain menambah peluang pekerjaan serta menjana semula pendapatan, katanya.

“Kita tahu antara perkara yang paling utama nak kita pulihkan ialah ekonomi negara. Kita sedar di waktu kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbagai-bagai peringkat industri, perniagaan dan segala bentuk kegiatan ekonomi hampir terhenti semuanya. Sehari ekonomi tidak bergerak kita rugi RM2.4 bilion. Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Muhyiddin juga berkata kerajaan sedar bukan mudah untuk memulakan semula kegiatan ekonomi kerana berdasarkan maklumat yang diterima daripada lapangan, banyak sektor ekonomi menghadapi kesulitan dan kesukaran untuk bangun semula.

“Banyak yang terjejas dengan begitu teruk. Sektor pelancongan hampir lumpuh, sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan juga hampir sedemikian. Oleh sebab itu, kita berada dalam situasi yang cukup sukar,” katanya. – Bernama

Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri dengan Warga Kerja di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra kelmarin. – Bernama