Muhyiddin sertai selawat bersama rakyat

KUALA LUMPUR, 18 JUN – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyertai program PKRC Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia yang diadakan secara maya bagi memohon kesejahteraan warga di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) serta seluruh rakyat yang kini berjuang melawan pandemik COVID-19.

Bacaan selawat dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Ikmal Zaidi Mohd Hashim bersama dua qari Ahmad Tarmizi Ali dan Amir Rahman Abbas di Kompleks Islam Putrajaya.

Perdana Menteri yang mengikuti program itu di Jabatan Perdana Menteri turut disertai ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta rakyat Malaysia termasuk warga di PKRC seluruh negara secara maya yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen tempatan termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV pada 8:30 pagi ini.

Bacaan selawat itu kemudian diakhiri dengan doa keselamatan oleh Ikmal Zaidi yang antara lain memohon Allah SWT memberi perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada segala penyakit berbahaya serta mendoakan kesejahteraan dan kestabilan negara.

Muhyiddin dalam ucapannya sejurus majlis itu berharap rakyat dapat terus berjuang dan tidak berasa lemah semangat dalam menghadapi dugaan serta cabaran ketika ini.

Menurutnya, perjuangan dalam melawan pandemik COVID-19 itu memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak dan beliau yakin negara akan keluar daripada wabak tersebut tidak lama lagi. – Bernama

Tan Sri MuhyiddinYassin mengaminkan doa ketika menyertai Program Mega Pusat Kua-rantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia, yang diadakan serentak di seluruh negara, kelmarin. – Bernama