Muhyiddin usul bantuan JKM dinaikkan RM1,000

SANDAKAN, 30 OGOS – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan ke RM1,000.

Katanya cadangan itu akan beliau kemukakan pada mesyuarat jemaah menteri minggu depan.

“Saya tahu cakap (kenyataan) saya ini mempunyai implikasi besar, but I don’t care (tapi saya tidak peduli).

“What is important is the livelihood of our people down there (Yang penting ialah mata pencarian rakyat di akar umbi) … they have suffered for a long time (mereka menderita sejak sekian lama),” katanya pada majlis perjumpaan bersama pimpinan masyarakat, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata usaha membantu golongan itu termasuk B40 merupakan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinannya.

Beliau juga meluahkan rasa sedih dengan nasib golongan itu walaupun negara telah lama merdeka.

“Mereka ini manusia yang masih hidup, tetapi dengan pendapatan kecil, sukar untuk hidup. Kalau mereka sakit, saya tidak jamin mereka boleh hidup sejahtera,” katanya.

Muhyiddin kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Sabah, bermula semalam. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanya sesuatu mengenai buah tarap kepada penjual sewaktu mengunjungi pasar minggu sempena lawatannya ke Sandakan pada 30 Ogos. Turut hadir isteri Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman. – Bernama