TOKYO, 20 OKT – Syarikat peruncit terkenal Jepun, Muji, menghentikan perkhidmatan membeli-belah dalam talian domestiknya selepas rakan penghantaran syarikat itu menjadi mangsa serangan ransomware, kata pihak syarikat hari ini.
Insiden itu berlaku selepas serangan siber besar-besaran terhadap syarikat pembuatan bir Jepun, Asahi, bulan lalu, yang masih berterusan sehingga kini.
“Dari jam 9 malam kelmarin, kami telah menggantung pemprosesan pesanan dan operasi penghantaran untuk kedai dalam talian rasmi,” menurut kenyataan Ryohin Keikaku, syarikat yang mengendalikan jenama Muji.
“Penggantungan ini berpunca daripada kegagalan sistem akibat jangkitan ransomware di syarikat Askul, rakan penghantaran dalam talian kami,” katanya.
Menurut Ryohin Keikaku, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Askul untuk memulihkan operasi, namun tarikh penyambungan semula masih belum ditentukan.

Dalam kenyataan berasingan, Askul memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan skop impak serangan, termasuk kemungkinan kebocoran maklumat peribadi pelanggan.
Kenyataan itu, yang dikeluarkan kelmarin, tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut mahupun sebarang tuntutan yang dibuat oleh penyerang.
Saham Ryohin Keikaku susut 2.5 peratus pada dagangan petang selepas mencatatkan kejatuhan lebih enam peratus pada awal sesi, manakala saham Askul merosot lebih lima peratus.
Sementara itu, syarikat Asahi dilaporkan mula mengalami masalah sistem sejak 29 September dan hari ini memaklumkan sistem pemprosesan pesanan serta penghantaran mereka masih digantung.
“Kami kini sedang memproses sebahagian pesanan secara manual dan mula menyambung penghantaran secara berperingkat,” kata kenyataan syarikat itu. – AFP

