Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mu@kad menang persembahan terbaik KKC

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt– Kumpulan Mu@kad dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan telah merangkul gelaran juara Anugerah Persembahan Terbaik Konvokesyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) di Majlis Penutup KKC Peringkat Kebangsaan ke-20 tahun 2017 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

    Tempat kedua pula dimenangi oleh Kumpulan 3GS juga dari Jabatan Ukur manakala itu, tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Tekad dari Jabatan Perkhidmatan Awam, JPM.

    Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Roselan bin Haji Mohamad Daud selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis juga menyaksikan penyampaian anugerah khas jabatan yang aktif dalam membudayakan KKC kepada Jabatan Audit, JPM dan Anugerah Fasilitator Terbaik yang disandang oleh Haji Mohd Zulkifli bin Mohd Said dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan.

    Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan ucapan pengerusi, Pengarah Institut Perkhidmatan Awam, Hajah Norezan binti Haji Hambali diikuti tayangan klip video semasa Sesi Terbuka Konvensyen KKC melibatkan 10 kumpulan dari tujuh buah jabatan mewakili lima kementerian yang telah diadakan pada 21 Oktober yang lalu.

    Dato Seri Paduka Haji Mohamad Roselan menyampaikan hadiah kepada Kumpulan Mu@kad yang memenangi Anugerah Persembahan Terbaik.

    Seterusnya, Ketua Panel Penilai, Dayang Zubaidah binti Haji Mahmud menyampaikan ulasan mengenai pencapaian projek-projek KKC yang dipertandingkan serta prestasi persembahan kumpulan semasa sesi terbuka yang lalu.

    Kemudian tetamu kehormat menyampaikan ucapan yang antara lain menekankan bahawa penglibatan agensi-agensi kerajaan dalam pertandingan KKC ini secara keseluruhannya pada tahap yang rendah dan mempersoalkan faktor penyebab perkara berkenaan.

    Dato Seri Paduka Haji Mohamad Roselan berkata, dalam arus perubahan yang menghala ke arah era digital pada masa ini, beliau yakin peranan KKC tidak akan terhakis malah akan lebih diperlukan agar pihak kerajaan dapat menangani apa jua keadaan yang di luar jangkaan secara future ready.

    Beliau juga mengongsikan kedudukan negara ini dalam Government Effectiveness Index baru-baru ini, yang telah memberikan petanda positif di mana kedudukan negara telah melonjak 12 anak tangga sehingga mencapai kedudukan 50 negara teratas iaitu ke-42 daripada 137 buah negara.

    “Walau bagaimanapun, jika dilihat kepada kriteria teras penilaian indeks ini, teras inovasi merupakan teras yang tersenarai paling bawah antara 12 teras di mana negara ini hanya mencapai gred 3.3 par 7,” jelasnya.

    Ini, tambahnya, menandakan bahawa inovasi merupakan elemen kritikal yang perlu diambil perhatian serius oleh jentera pentadbiran awam kerajaan dan dijadikan sebagai misi utama untuk sama-sama ditangani secara bersepadu melalui pendekatan whole of nation.

    Majlis disusuli dengan acara kemuncak majlis iaitu penyempurnaan penyampaian anugerah.

    Pada konvensyen kali ini, satu pembaharuan dibuat bagi Anugerah Persembahan Terbaik, yang sebelumnya hanya dimenangi oleh sebuah kumpulan sahaja akan tetapi pada tahun ini tiga kumpulan diberi peluang untuk memenangi hadiah bagi tempat pertama, kedua dan ketiga.

    Penyampaian hadiah bagi pemenang Projek KKC akan diadakan pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-24 yang bakal diadakan pada 22 November 2017.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda