Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mukah ceria dengan kibaran bendera

    MUKAH, 29 OGOS – Seluruh ceruk rantau di Bahagian Mukah ini kelihatan lebih ceria daripada hari biasa, sejak Kempen Kibar Jalur Gemilang Bahagian Mukah 2023 dimulakan Jumaat lepas, sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2023 di bahagian itu yang dirancang bermula esok.

    Selain kawasan-kawasan strategik di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Jalur Gemilang dan juga bendera Sarawak kelihatan berkibaran megah di premis-premis kerajaan, swasta dan juga rumah-rumah kampung di sekitar sini.

    Ramai penduduk kampung di sini yang mengambil inisiatif, gigih menyumbang tenaga dan wang ringgit untuk menghiasi persekitaran kawasan masing-masing dengan pelbagai cara dan kreativiti, khusus bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme cintakan negara.

    Seorang petugas Jabatan Penerangan Bahagian Mukah, Syahrulizan Madian contohnya, mengambil inisiatif menghiasi halaman rumah keluarga Sulong @ Ismawi Basri di Kampung Tutus Ulu dengan kibaran bendera, bukan hanya Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak, tetapi juga bendera negeri-negeri lain.

    Keluarga itu turut membina pintu gerbang daripada botol-botol plastik terpakai dan dihiasi dengan logo Malaysia Madani dan juga peta Malaysia. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda