Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 30 Julai – Mukim Liang Lumut menjadi juara keseluruhan dengan berjaya mengumpulkan empat pingat emas, tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa dalam Kejohanan Boling Berpasukan Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun 2017, Peringkat Daerah Belait telah diadakan di Pusat Utama Boling di sini.
Di tempat kedua ialah pasukan dari Mukim Gadong dengan pungutan empat pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa, manakala tempat ketiga disandang oleh Pasukan Seria.
Sementara itu di tempat keempat dan kelima masing-masing diraih oleh Pasukan Berakas dan pasukan dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad (BSP).
Sebanyak 14 acara telah dipertandingkan di kejohanan tersebut, yang telah mula diadakan pada 21 Julai lalu telah berakhir hari ini, dengan Kategori Lelaki dan Wanita Dewasa di sebelah pagi dan Kategori Lelaki dan Wanita Terbuka petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah petang tadi ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Penaung Boling Sepuluh Pin Daerah Belait dan datin.


Turut hadir ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman, yang juga telah menyempurnakan penyampaian beberapa hadiah bagi pemenang-pemenang kategori.
Kejohanan tersebut merupakan akitiviti tahunan Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan, ia bertujuan untuk meningkatkan mutu permainan sukan boling di Daerah Belait.
Selain itu ia juga adalah bagi mengenalpasti pemain-pemaian yang berpotensi dan diketengahkan bagi mewakili Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait bagi penyertaan kejohanan di peringkat kebangsaan dan jemputan.
Antara pasukan yang menyertai termasuklah Mukim Kuala Belait, Mukim Seria, Mukim Liang Lumut, BSP, Mukim Berakas, Mukim Gadong, Mukim Serasa dan Kelab Boling (iBowl).