Mula kejar pembangunan teknologi

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Negara-negara Islam perlu mula berusaha ke arah mencipta dan membangunkan teknologinya sendiri, supaya ia berada terkedepan dalam aspek kemajuan teknologi bersama dengan negara-negara maju.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata negara Islam masih jauh ketinggalan dan bergantung kepada ciptaan dan teknologi yang dihasilkan negara bukan Islam, dan menurutnya mereka perlu menggandakan usaha untuk merapatkan jurang kemajuan teknologi dengan negara-negara lain.

“Jika kita tidak mula mencipta dan membangunkan teknologi sendiri, maka selamanya kita akan berada di belakang negara-negara maju. “Kita tidak ada pilihan kecuali mula berusaha ke arah ini,” katanya semasa sesi meja bulat dan perbincangan di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) di sini hari ini.

Presiden Iran Dr Hassan Rouhani dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut mengambil bahagian dalam sesi itu di samping Dr Mahathir.

Bercakap pada sesi yang bertajuk “Keutamaan Pembangunan dan Cabaran”,  Perdana Menteri Malaysia itu berkata beliau berharap sidang kemuncak berkenaan akan dapat melahirkan strategi serta pendekatan yang jelas dalam menangani perkara itu.

Dr Mahathir juga berkata negara-negara Islam tidak ada pilihan selain bangkit dan berkembang maju secepat mungkin sekira-nya mereka berhasrat untuk memulihkan segala bentuk malapetaka yang menimpa ummah.

“Kita telah bercakap dengan panjang lebar berhubung keadaan negara-negara Muslim. Walaupun kita mungkin tidak dapat mengasingkan sepenuhnya segala perkara yang telah menyebabkan keperitan dan kesengsaraan kita, kebanyakan kita bersetuju bahawa ia berpunca daripada ketidakupayaan kita mengejar perkembangan dan kemajuan orang bukan Islam yang telah meninggalkan kita dalam keadaan sukar dan terabai,” katanya.

Dalam merangka strategi pembangunan, beliau juga menekankan kepada keperluan untuk menangani gangguan-gangguan teknologi, dan memastikan bahawa ia sentiasa ditingkatkan supaya tidak menjadi usang apabila teknologi baharu muncul. – Bernama

Tun Dr Mahathir bersama pemimpin Turki dan Iran pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur. Mahathir dalam salah satu ucapannya pada sidang itu menggesa negara-negara Islam mula mengejar pembangunan teknologi agar dapat bersaing dengan negara-negara maju. – Bernama