Monday, December 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mulakan 2020 dengan azam

    Oleh Syahmi Hassan & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Dengan kedatangan 2020, pasti ramai yang meraikan penghujung dekad ini dengan pelbagai acara bersama keluarga dan sahabat handai, pada masa yang sama menanamkan azam bagi tahun baharu.

    Dayang Ramlah binti Mohd Nor semasa ditemu bual mengongsikan bahawa beliau bersama keluarga tersayang akan berkumpul beramai-ramai pada majlis Doa Selamat malam ini dengan harapan agar mereka akan terus menikmati hidup dengan rasa syukur kerana diberikan peluang untuk dapat bersama-sama dalam menjejaki tahun 2020.

    Selain itu, beliau yang juga selaku warga perkhidmatan awam turut mengongsikan azam tahun baharu 2020 yang ingin dicapai.

    “Semoga dengan menjelang tahun baharu 2020, kita akan lebih komited, lebih bersemangat, dan lebih bertanggungjawab kepada kerja yang semakin mencabar,” kongsinya.

    Manakala rakan karibnya, Hajah Norhayati binti Mohd Salleh yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Sayyidina Hasan menyeru orang ramai untuk menyambut tahun baharu 2020 dengan memperbanyakkan menilai diri.

    Awang Akmal Bazli mengharapkan tahun 2020 akan dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang masakan.
    Pengerusi Aktiviti Komiti Sukarelawan Mengkubau bergambar ramai semasa melaksanakan salah satu aktiviti untuk anak-anak yatim.
    Awang Muhammad berazam mengembangkan perniagaannya pada 2020.
    Dayang Ramlah (kiri) bersama sahabat karibnya, Hajah Norhayati (kanan).

    “Mungkin selama ini kita terlalu kerap melakukan kesalahan dan kurang bersungguh-sungguh dalam memperbaiki diri dan kurang bekerja keras dalam mencapai impian kita.

    “Hidup selalu menawarkan kesempatan kedua, iaitu ‘hari esok’ semoga hari esok dapat menjadi lebih baik, dan semoga tahun baharu ini juga akan menjadi yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Amin,” katanya.

    Hajah Norhayati mengongsikan bahawa sempena menyambut tahun baharu, mereka sekeluarga berkumpul beramai-ramai, mengadakan jamuan ringan sambil bersilaturahim untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sedia ada.

    Manakala itu, bagi seorang usahawan muda, Awang Muhammad bin Haji Taif, azam baharunya sempena 2020 adalah memajukan perusahaan yang sedang dijalankan.

    “Untuk tahun 2020 ini, saya berazam untuk memperluaskan lagi perniagaan saya dan merancang secara strategik bagaimana untuk memperluaskannya. Dalam mencapai azam berkenaan, pelbagai perkara yang perlu diambil serius seperti strategi pemasaran, barangan yang digunakan termasuk peralatan dan juga makanan dan minuman, dan pelbagai lagi.

    “Selain itu, saya bersama rakan juga mungkin merancang untuk menjalankan perniagaan di luar negara yang bagi kami berpotensi, insya-Allah juga pada tahun baharu,” jelasnya.

    Ditanya mengenai rancangan pada malam ini sempena menyambut tahun baharu, Awang Muhammad mengongsikan bahawa beliau bersama keluarganya berkumpul beramai-ramai dan mengadakan barbeku, acara yang mereka adakan setiap tahun.

    Sementara itu, pemilik Restoran SanThai pula mengharapkan tahun baharu ini akan lebih beristqomah dalam melaksanakan suruhan Allah ke arah meraih keberkatannya selain melipatkan gandakan lagi usaha untuk lebih dekat denganNya.

    Pelajar dalam bidang masakan, Awang Akmal Bazli bin Haji Mustapa pula melahirkan harapan untuk terus meningkatkan pembelajaran dalam bidang masakan seterusnya mendapat gred yang membanggakan sebagai semangat dan pendorong untuk terus berjaya.

    Menyentuh mengenai dengan sambutan tahun baharu ini, seperti pada tahun-tahun sebelumnya akan berkumpul bersama keluarga dan saudara mara untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

    Manakala itu, Pengerusi Aktiviti Komiti Sukarelawan Mengkubau, Haji Hairol pula menjelaskan, azam baharu untuk komiti berkenaan bagi 2020 adalah terus berusaha mempelbagaikan program dengan melibatkan sukarelawan.

    “Selain meningkatkan kerjasama dengan NGO yang lain untuk memeduli mereka sewajarnya diambil perhatian dan membantu pihak kerajaan secara sukarela dalam pembangunan anak bangsa,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda