Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Di Negara Brunei Darussalam, kadar kematian ibu (MMR) bagi tempoh 2018 hingga 2023 adalah di antara 0 hingga 32.4 bagi setiap 100,000 kelahiran iaitu bersamaan antara 0 hingga dua kes kematian setahun.
Kadar MMR yang terkini iaitu bagi 2023 adalah 15.9 bagi setiap 100,000 kelahiran, iaitu bersamaan dengan satu kes kematian setahun.
“Ini adalah selari dengan sasaran matlamat pembangunan mampan (SDG) 3.1 bagi memastikan MMR berada di bawah 70 bagi setiap 100,000 kelahiran.
“Dalam tempoh 50 hingga 60 tahun lalu, Negara Brunei Darussalam telah mencapai pengurangan yang baik dalam jumlah kematian ibu dan anak damit yang baru lahir.
“Walau bagaimanapun, statistik menunjukkan penurunan selanjutnya tidak semestinya mudah untuk dicapai terutama dengan peningkatan penyakit-penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan obesiti dalam kalangan wanita muda yang berada dalam usia melahirkan anak,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2025.

Beliau seterusnya menyatakan setiap wanita hamil yang menghidap penyakit berkenaan berisiko tinggi untuk melahirkan anak damit dengan kecacatan kelahiran, kelahiran stillbirth atau kelahiran pramatang.
“Terdapat juga satu teori dengan bukti yang kukuh menyatakan bahawa pendedahan kepada keadaan kesihatan ini dalam rahim boleh membentuk kecenderungan tubuh anak damit untuk menghadapi masalah kesihatan yang sama apabila mereka dewasa kelak.”
Tambahnya lagi, “Ini bermakna, walaupun anak damit tersebut dilahirkan cukup bulan dan kelihatan sihat secara luaran, mungkin telah pun wujud satu program dalam tubuhnya yang menjurus kepada risiko menghidap penyakit kardiovaskular, metabolik atau imunologi pada masa depan, hanya disebabkan oleh persekitaran dalam rahim semasa anak damit itu berkembang sebagai janin.”
Keadaan itu juga akan menjadi lebih buruk jika selepas anak damit dilahirkan, keluarga terus mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat semasa anak damit berkenaan membesar.
Terdahulu dalam perutusannya, Yang Berhormat Dato berkata setiap tahun pada 7 April, seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Kesihatan Sedunia (WHD) untuk memperkukuhkan kesedaran dan komitmen negara terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Pada 2025, tema Sambutan WHD yang dipilih ialah Healthy Beginnings, Hopeful Futures, yang menekankan kepentingan memulakan kehidupan yang sihat sebagai asas untuk masa depan yang lebih cerah.
Tema itu, jelas Yang Berhormat Dato akan memberikan tumpuan kepada kesihatan ibu dan anak damit dalam bulan pertama kehidupan serta seterusnya menyeru kerajaan dan komuniti kesihatan untuk mempergiatkan lagi usaha mengakhiri kematian ibu dan anak damit yang boleh dicegah serta memberi keutamaan kepada kesihatan dan kesejahteraan jangka panjang wanita.
Beliau seterusnya menyatakan Kementerian Kesihatan ada menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu yang teratur dan berkualiti yang diberikan melalui 13 pusat kesihatan dan tiga klinik kesihatan yang mudah diakses di seluruh negara, berdasarkan konsep liputan kesihatan sejagat. Perkhidmatan Kesihatan Ibu, ulasnya, bertujuan untuk mengurangkan masalah kesihatan dan kadar kematian ibu dengan menyediakan penjagaan kesihatan kepada ibu-ibu semasa mengandung dan selepas bersalin.
“Selain daripada klinik ibu semasa mengandung dan selepas bersalin, perkhidmatan kejururawatan selepas bersalin di rumah bagi memeriksa ibu yang baru melahirkan, pendidikan kesihatan dan klinik kesihatan wanita juga disediakan.
“Perkhidmatan yang komprehensif termasuk pemberian ubat-ubatan, suplemen nutrisi penting, vaksinasi dan ujian-ujian semasa mengandung seperti pemeriksaan ultrabunyi adalah diberikan secara percuma untuk semua ibu me-ngandung yang menetap di negara ini, tanpa mengira kewarganegaraan mereka iaitu sejajar dengan konsep penjagaan kesihatan yang sejagat.”
Yang Berhormat Dato menyatakan ia adalah bagi membantu memastikan ibu-ibu yang mengandung mendapat penjagaan yang optimum dan berada dalam kesihatan fizikal dan mental yang terbaik sepanjang kehamilan mereka.
Perkhidmatan kesihatan ibu di negara ini, tambahnya, sentiasa dikemas kini bagi memastikan ianya adalah berasaskan bukti saintifik terkini.
Pada November 2024, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan vaksin Pertussis semasa ibu mengandung seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sebagai strategi tambahan untuk mencegah penyakit batuk kokol pada anak damit yang terlalu muda untuk divaksinasi.
Di samping itu, Perkhidmatan Kesihatan Kanak-kanak bagi umur 0 hingga 5 tahun juga diberikan melalui 13 pusat kesihatan dan tiga klinik kesihatan yang sama seperti Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Ibu.
Perkhidmatan kesihatan kanak-kanak merangkumi pelbagai aspek penjagaan, termasuk lawatan kejururawatan di rumah bagi anak damit baru lahir, penilaian perkembangan dan fizikal rutin bagi kanak-kanak berumur 0 hingga 5 tahun, serta pemberian vaksin kanak-kanak dan pemantauan imunisasi kanak-kanak mengikut jadual Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Beliau menyatakan lagi Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan Negara Brunei Darussalam adalah sangat komprehensif dan telah berjaya melindungi kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.
“Kadar liputan imunisasi untuk semua vaksin kanak-kanak di negara ini kekal tinggi melebihi 95 peratus sepanjang dekad yang lepas, iaitu selaras dengan sasaran global yang ditetapkan untuk mencapai 90 peratus atau lebih.”
Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan di negara ini juga sentiasa dikemas kini bagi memastikan ia adalah berasaskan bukti saintifik terkini.
Pada 1 Februari lalu, Vaksin Konjugat Pneumokokal (PCV) telah diperkenalkan dalam Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan dan ia membuktikan komitmen kerajaan untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini serta menyokong visi negara untuk masa depan yang lebih sihat, jelas Yang Berhormat Dato.
Beliau menekankan tema Healthy beginnings, hopeful futures, merupakan inti pati daripada usaha berterusan untuk memastikan setiap rakyat dan penduduk di negara ini menikmati kehidupan yang sihat dan produktif.
Dengan kerjasama semua pihak, kerajaan, sektor swasta, masyarakat hingga profesional kesihatan, beliau yakin kita akan dapat mencapai matlamat itu bersama.
“Setiap individu juga haruslah bertanggungjawab untuk kesihatan diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing untuk jangka masa panjang.
“Ini termasuk menjaga kesihatan gadis dan wanita muda kita yang akan menjadi ibu dan seterusnya menjaga kesihatan anak-anak secara proaktif.”
Oleh itu, beliau menyatakan pemikiran tanggungjawab sosial yang penting berkenaan, diharapkan melahirkan anak-anak yang bukan sahaja menjadi individu yang lebih sihat tetapi lebih produktif untuk masyarakat kita dengan masa depan yang penuh harapan.
Yang Berhormat Dato berkata, “Marilah kita teruskan usaha ini dengan semangat dan komitmen, kerana kesihatan adalah asas kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.
“Dengan izin Allah SWT jua, bersama-sama kita akan dapat membina masa depan yang lebih sihat dan lebih cerah untuk generasi akan datang.”