EL CALLAO, VENEZUELA – Pada usia 10 tahun, Martin tidak dapat membaca, tetapi dia sudah mahir dalam mengesan jejak emas yang dia dan sepupu-sepupunya gali di lombong terbuka di tenggara Venezuela.
Di bandar El Callao, mengekstrak emas dari tanah mulanya adalah sebagai permainan kanak-kanak, tetapi akhirnya akan menjadi pekerjaan sepenuh masa yang aktivis hak asasi manusia menganggapnya sebagai eksploitasi berbahaya.
Fizikal kanak-kanak yang bersaiz kecil dan tangkas membolehkan mereka masuk ke dalam lubang yang sempit untuk menggali tanah dengan harapan akan menemui emas.
Keperluan emas semakin meningkat apabila pengeluaran minyak Venezuela merosot.
Kanak-kanak membawa beg berisi tanah yang berat di bawah terik matahari, menuju ke kolam air yang keruh, di mana mereka mencuci tanah tersebut dalam dulang kayu.
Martin menjelaskan bahawa proses kimia yang digunakan mereka untuk mengekstrak emas dari bijih menggunakan merkuri, walaupun ia adalah bahan yang berbahaya dan membahayakan alam sekitar.
Dia adalah salah seorang daripada kira-kira 1,000 kanak-kanak di rantau itu yang terlibat dalam perlombongan emas haram, sebuah industri yang berkembang pesat di negara yang kaya dengan sumber itu yang telah dilanda pelbagai krisis ekonomi.
Martin, bukan nama sebenar tinggal di El Peru, sebuah ladang berdekatan. Dia tidak pernah bersekolah.
Carlos Trapani, dari NGO hak kanak-kanak, Cecodap, memberitahu AFP bahawa pekerjaan yang mencabar dan bahaya yang berkaitan dengannya telah menjadi ‘biasa’ dalam komuniti itu.
Walaupun apa yang diterangkan oleh Trapani sebagai ‘keadaan yang paling teruk,’ Martin berkata dia ‘lebih suka mendapatkan emas daripada pergi ke sekolah.”
“Ayah saya mengatakan bahawa wang datang dari usaha dan kerja,” katanya kepada AFP, dalam temu bual yang diberikan dengan persetujuan ibu bapanya.
“Dengan wang yang saya peroleh di sini saya membeli barang-barang saya seperti kasut, pakaian dan gula-gula.”
Menurut universiti swasta Katolik, UCAB, di Guyana, kira-kira 1,000 kanak-kanak bekerja di lombong emas haram di kawasan tersebut.
“Ini tentang kelangsungan hidup,” kata Eumelis Moya, penyelaras pejabat hak asasi manusia universiti itu.
“Kebanyakan individu menangguhkan impian mereka untuk makan, untuk memenuhi keperluan mereka.”
Ekonomi Venezuela, mengalami krisis serius sejak tahun 2013, yang sebahagian disebabkan oleh pengurusan politik yang tidak berkesan, sekatan ekonomi dari AS dan terlalu bergantung kepada hasil minyak yang besar.
KDNK (Keluasan Dalam Negara Kasar) menyusut sebanyak 80 peratus dan inflasi melampau telah merosakkan daya beli. Kira-kira tujuh juta daripada 30 juta penduduk negara itu telah berhijrah mencari kehidupan yang lebih baik di tempat lain.
Pada 2017, Presiden Nicolas Maduro, berikrar untuk menyelamatkan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada sumber mineral negara yang lain, katanya ia boleh mempunyai “rizab emas terbesar di dunia.”
Sejak itu, terdapat aktiviti dinamakan oleh Kumpulan Krisis Antarabangsa sebagai ‘bonanza perlombongan haram’ di seluruh selatan negara itu, di mana kumpulan penjenayah termasuk gerila Colombia, menjalankan kebanyakan operasi, menimbulkan ketakutan dalam masyarakat tempatan.
“Ia menakutkan saya apabila tembakan bermula dan ada orang mati,” kata Gustavo, seorang lagi pelombong muda, berusia 11 tahun.
Menurut laporan 2021, oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), “kebanyakan emas yang diperoleh oleh pelombong kecil akhirnya berakhir di tangan elit tentera dan politik.”
Pada bulan Julai, Maduro mengarahkan penempatan angkatan tentera untuk mengusir pelombong haram dan pihak berkuasa telah melaporkan kemusnahan beberapa kem.
Perlombongan terutamanya di kawasan Amazon Venezuela telah memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan masyarakat Orang Asli.
Di beberapa kawasan di Venezuela, seperti El Callao, emas diukur dalam gram digunakan sebagai bentuk mata wang dalam transaksi perniagaan tempatan kerana mata wang rasmi, bolivar, tidak stabil dan mengalami penurunan nilai yang ketara.
Itu memberi peluang kepada pelombong kanak-kanak seperti Gustavo, untuk mencari emas di luar kedai arak dengan harapan menemui emas yang mungkin telah terjatuh dari pelanggan yang mabuk.
“Ada suatu hari, saya mendapat satu gram (bernilai kira-kira AS$50),” katanya kepada AFP. “Saya memberikan wang itu kepada ibu saya untuk membeli makanan.”
Dia telah melombong sejak umur enam tahun dan tidak pernah pergi ke sekolah.
Kanak-kanak di Venezuela, mengalami kesan yang sangat buruk akibat krisis ekonomi, terutamanya dengan ramai ditinggalkan oleh ibu bapa yang berhijrah mencari kehidupan yang lebih baik. Keadaan itu mengakibatkan pelbagai masalah, termasuk kesukaran dalam mendapatkan akses kepada pendidikan yang berkualiti, terutamanya apabila sesetengah sekolah awam tidak berfungsi dengan baik akibat gaji guru yang rendah.
Trapani berkata bahawa apabila krisis ekonomi mencapai kemuncak pada 2018, membawa kepada keadaan di mana bukan sahaja kanak-kanak sekolah, malah guru-guru juga terpaksa terlibat dalam aktiviti perlombongan selepas berhenti dari pekerjaan mereka.
Ibu Gustavo, 28, memberitahu AFP bahawa anak-anaknya tidak kembali ke sekolah selepas penutupan COVID-19, tetapi dia berharap mereka akan dapat kembali ke sekolah pada masa akan datang.
“Selalu ada risiko di lombong.” – AFP