‘S-HERTOGENBOSCH, Belanda, 19 Jun – Gille Muller dari Luxembourg menewaskan Ivo Karlovic dari Croatia semalam untuk memenangi gelaran ‘s-Hertogenbosch di pentas final dengan gabungan usia tertua bagi kedua pemain sejak 1976.
Muller, 34, menewaskan Karlovic, 38, 7-6 (7/5), 7-6 (7/4) dalam persaingan dua servis kencang untuk menjulang trofi peringkat jelajah keduanya, berikutan kemenangan di Sydney.
Ia adalah final perseorangan lelaki tertua sejak Ken Rosewell (42) dan Ilie Nastase (30), bersaing di Hong Kong 41 tahun lalu.
Muller membuat 22 pukulan ‘aces’ berbanding 19 oleh Karlovic dengan tiada ‘break point’ bagi kedua pemain ketika pemain dari Luxembourg menebus kekalahan final pada tahun lepas di Belanda kepada Nicolas Mahut.
Dia seterusnya menuju ke Queens di mana dia menghadapi Nikoloz Basilashvili dari Georgia dalam pusingan pembukaan kejohanan pemanasan Wimbledon.
Anett Kontaveit dari Estonia memenangi gelaran WTA pertamanya selepas menewaskan Natalia Vikhlyantseva dari Rusia 6-2, 6-3 dalam final wanita.
Pemain dari Tallinn itu, berada di ranking 49 dunia, menewaskan Vikhlyantseva, 20, dalam masa 73 minit untuk meneruskan rentak baik 2017.
Kontaveit menamatkan tangga kedua di gelanggang tanah liat di Biel pada April lalu dan juga melakarkan kemenangan ke atas pemain nombor satu dunia, Angelique Kerber dan juara Terbuka Perancis 2016, Garbine Muguruza musim ini.
“Saya begitu teruja!” kata Kontaveit. “Ia adalah menarik bagi saya, saya melalui perlawanan yang sukar dan saya gembira kerana mara untuk memenangi final, ia adalah luar biasa.” – AFP