Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mumia di China, Asia Tenggara lebih tua daripada Mesir

    BANGKOK, 16 SEPT – Beberapa masyarakat purba di China dan Asia Tenggara dipercayai telah mengeringkan mayat mereka dengan asap, sekali gus memumifikasikannya ribuan tahun lebih awal berbanding masyarakat Mesir purba, menurut satu kajian baharu.

    Jika mayat berbalut kain dari Mesir purba wujud sejak 4,500 tahun lalu, contoh paling awal mumifikasi sebelum ini dikenal pasti berasal dari masyarakat purba di Chile. Di sana, udara kering di pesisir Atacama memungkinkan proses mumifikasi semula jadi melalui pengeringan.

    Namun, mayat yang ditemui penyelidik di China dan Asia Tenggara kebanyakannya berasal dari kawasan lembap. Para saintis pada mulanya tertarik dengan kedudukan rangka yang kelihatan berkerut di tapak pengebumian di China, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

    Sisa rangka tersebut menunjukkan kesan terbakar pada bahagian tertentu, tetapi corak itu tidak konsisten dengan proses pembakaran mayat. Mereka berteori bahawa kedudukan rangka yang aneh itu mungkin berlaku kerana tiada lagi tisu lembut pada tubuh, hasil daripada proses pengeringan dengan asap, sepertimana amalan tradisi yang masih ditemui di Papua, Indonesia.

    Ujian komposisi sampel tulang dari tapak pengebumian berkenaan berbanding dengan sampel kawalan dari tapak purba di Jepun mendapati bukti pendedahan kepada haba bersuhu rendah. Keutuhan rangka yang ditemui turut menunjukkan bahawa pembakaran bukanlah tujuannya, sebaliknya ia dilakukan untuk tujuan pengawetan. – AFP

    Foto tanpa tarikh yang disediakan oleh Hirofumi Matsumura ini menunjukkan mumia berusia 9,000 tahun di Guangxi, China, dalam posisi mencangkung. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda