LIMA, 26 APRIL – Mumia seorang remaja yang hidup kira-kira 800-1,200 tahun lalu, lengkap dengan cebisan kulit dan gumpalan rambut, telah ditemui di pinggir ibu kota Peru, Lima, kata ketua pasukan penggalian hari ini.
Mayat kanak-kanak yang dipelihara dengan baik itu, berumur kira-kira 12 atau 13 tahun, ditemui semasa penggalian di tapak arkeologi Cajamarquilla di dalam kubur kira-kira dua meter (6.5 kaki) dalam dan tertutup oleh batu besar, ketua pasukan, Yomira Huaman memberitahu AFP.
Cajamarquilla merupakan sebuah bandar yang dibina daripada lumpur pada kira-kira 200 sebelum masihi (SM), pada zaman pra-Inca, dan diduduki hingga sekitar tahun 1500. Kota tersebut pernah menjadi tempat tinggal kepada 10,000 hingga 20,000 orang.
Huaman berkata kandungan garam yang tinggi dalam pasir di kawasan itu berkemungkinan menyebabkan pengawetan alami pada tubuh anak itu, yang belum ditentukan jantinanya.
Cebisan kulit masih melekat pada lengan dan kaki, sementara rambut ditemukan pada kepala yang terpisah dari badan. – AFP
