Tuesday, July 22, 2025
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mumtaz dinobat juara Kejohanan Bola Sepak 9S Veteran

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kejohanan Bola Sepak 9S Veteran bagi pemain berumur 45 tahun ke atas anjuran Veteran 90s telah berlangsung semalam, menghimpunkan beberapa pasukan veteran dari seluruh negara dalam suasana penuh semangat kesukanan.

    Kejohanan yang julung kali diadakan itu menyaksikan perlawanan peringkat liga kumpulan berlangsung pada sebelah pagi, bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, bertempat di Padang Sungai Asam A dan B.

    Seterusnya, perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir, penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir telah diteruskan pada sebelah malam, bermula jam 7 malam di Kompleks Sukan Berakas. Acara penyampaian hadiah telah diadakan sejurus selepas perlawanan akhir.

    Pasukan Mumtaz muncul juara kejohanan dan membawa pulang sebuah piala iringan, 15 pingat serta wang tunai sebanyak $1,200. Hadiah telah disampaikan oleh tetamu kehormat, Awang Metali bin Haji Mohd Tahir.

    Naib johan disandang oleh Pasukan PSJD A, yang turut menerima piala iringan, 15 pingat dan wang tunai sebanyak $700. Hadiah telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Veteran (VFA), Awang Metussin bin Sumpong.

    Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Pasukan PSJD B yang membawa pulang 15 pingat serta wang tunai sebanyak $400. Hadiah telah disampaikan oleh pengerusi kejohanan, Awang Abdul Latip bin Haji Omar.

    Selain anugerah kepada pasukan, beberapa pemain turut menerima pengiktirafan individu.

    Penjaring Terbanyak dianugerahkan kepada Awang Hairol Azaman Shah bin Abdullah, manakala anugerah Penjaga Gol Terbaik disampaikan kepada Awang Muhammad Arfan bin Minudin. Anugerah Pemain Terbaik pula dimenangi Awang Sahrin bin Momin. Ketiga-tiga mereka menerima piala dan wang tunai yang disampaikan oleh Awang Baharuddin bin Bahrum.

    Sebagai tanda penghargaan, cenderahati turut disampaikan kepada tetamu kehormat oleh Awang Abdul Latip. Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat bagi para pemain veteran, malah turut mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti sukan tempatan.

    Pasukan Mumtaz bergambar ramai setelah berjaya menjuarai kejohanan tersebut. – GAMBAR SERAHAN VETERAN 90s
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda