Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Program Malam Munajat Khas bagi kali ke-170 dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan kelolaan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bersempena Sambutan Hari Kastam Antarabangsa Tahun 2025, dengan tumpuan utama di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.
Munajat Khas ini disemarakkan dengan penyertaan daripada warga kerja JKED, MOFE, dan KHEU serta jabatan-jabatan di bawah masing-masing. Turut menyemarakkan majlis ialah para guru dan pelajar dari sekolah-sekolah agama di bawah Jabatan Pengajian Islam, KHEU, serta individu yang turut serta secara maya.
Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari JKED, MOFE.
Majlis diikuti dengan bacaan tahlil dipimpin oleh Penolong Penguasa Kastam dan Eksais Diraja, Awang Haji Mohammad Junaidi bin Haji Ahmad.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Masjid-masjid Zon 3, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Muhammad Amin bin Haji Salim.
Munajat khas diserikan lagi dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.
Isi kandungan tazkirah antara lain menekankan bahawa Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Di mana, Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Mulk, ayat 2 yang ertinya, “Dia (Allah SWT) yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh ahli kumpulan pendikir, JKED, MOFE.
Majlis diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, Awang Nuzli bin Haji Jumat.