BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Melalui SOP agama, Negara Brunei Darussalam telah pun mengamalkan Vaksin Ketuhanan berupa bacaan-bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, pelbagai zikir, melakukan sembahyang Sunat Hajat, membaca Qunut Nazilah, membaca Selawat Tafriziyyah senegara dan secara berterusan mengadakan Malam Munajat sebagai usaha untuk mengelak COVID-19.
“Pentingnya Vaksin Ketuhanan dalam bentuk ayat-ayat Al-Quran, doa-doa dan munajat sudahpun kita lakukan, Alhamdulillah, ada kesan positif kurnia Allah SWT kepada kita. Cuma satu sahaja lagi jenis munajat yang sangat elok malah mustahak untuk kita lakukan ialah Munajat Senegara Dengan Taubat.”
Perkara tersebut dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned ketika menyampaikan ceramah khas bertajuk Munajat Senegara Dengan Taubat pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2023 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 9 Jamadilawal 1445H bersamaan 23 November 2023M.
Menurut Yang Berhormat Pehin, taubat adalah perkara suci dan Allah menggesa sekalian hambaNya untuk bertaubat, sebagaimana firmanNya dalam Surah At-Tahrim ayat 8, tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah ampun kepadaNya) dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan dosa-dosa kamu dan akan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”
Yang Berhormat Pehin menambah, dalam sebuah hadis Qudsi pula, Allah SWT berfirman, maksudnya: “Wahai para hambaKu! Sesungguhnya kamu melakukan dosa pada malam dan siang hari, dan Aku, mengampunkan semua dosa. Maka kamu mintalah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampunkan kamu.”
Nabi kita Sayyidina Muhammad SAW tanpa berlengah, jelasnya telah menyahut gesaan atau perintah Allah ini, dengan sabda Baginda yang bermaksud: “…Sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya (kepada Allah) dalam sehari adalah 100 kali.”
“Rasa-rasanya, kita patut malu menyebut hadis ini. Kerana Nabi SAW bertaubat 100 kali sehari, sedang kita berapa kali? Nabi yang makshum, yang dijamin tidak berdosa, tetapi Baginda bertaubat, meminta ampun kepada Allah, 100 kali sehari, mengapa? Ya mengapa wahai Nabi? Kerana Baginda itu tahu bahawa taubat adalah kesukaan Allah. Siapa yang bertaubat disukai oleh Allah. Makanya, Nabi kekasih Allah pun masih sahaja memburu cinta Allah itu dengan taubat,” jelasnya.
Yang Berhormat Pehin sete-rusnya menjelaskan bahawa taubat mempunyai pintu dan tanda kepemurahan Allah, pintu ini tidak pernah ditutup kecuali pada dua keadaan iaitu apabila nyawa sudah sampai di halqum dan apabila matahari telah terbit di sebelah Barat.
“Alhamdulillah, hingga ke saat ini, kita masih sahaja ada peluang untuk bertaubat. Nafas kita masih baik, fizikal kita masih kuat, cerita nyawa sampai di halqum belum lagi berlaku, dan peristiwa matahari terbit dari sebelah Barat juga belum terjadi, tandanya, kita ini masih sahaja ada peluang untuk bertaubat.
“Tetapi awas! Usah kita optimis atau berfikir bahawa peluang ini, akan kekal lama, belum tentu. Jangan anggap dua ribu tahun lagi baru kiamat akan berlaku. Jangan anggap begitu,” tegas Yang Berhormat Pehin.
Nabi kita Sayyidina Muhammad SAW, kata Yang Berhormat Pehin, setiap datang hari Jumaat, Baginda itu takut, kerana Baginda tahu, kiamat akan berlaku pada hari Jumaat, dan apabila angin bertiup kencang – ribut , Baginda dan para sahabat akan bergegas ke masjid, untuk sembahyang kerana mereka takut, kalau-kalau ribut itu adalah mukaddimah kiamat.
“Begitu Nabi dan para sahabat. Berbanding kita, pada hari Jumaat dan bila berlakunya ribut, kita tidak takut. Kita masih sahaja ketawa dan berseronok-seronok. Nampaknya kita ini, kalau pun dibandingkan dengan makhluk burung, maka makhluk burung adalah lebih alim dan lebih sensitif, kerana menurut hadis, kicauan burung pada hari Jumaat berbeza dengan kicauan burung pada hari-hari lain selain Jumaat.
“Kicauan burung pada hari Jumaat berbunyi atau bererti: sallim…sallim…sallim…(ertinya: selamatkan…selamatkan…selamatkan…). Selamatkan daripada apa? Selamatkan daripada huru-hara hari kiamat, kiranya kiamat itu berlaku pada hari Jumaat tersebut. Demikian, sang burung juga adalah tahu bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat,” tegas Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata bahawa kita usah asyik bersantai dan berseronok kerana matahari belum terbit dari Barat, tetapi kenangkan, bahawa masa itu sudah dekat. Sudah ada dalilnya berupa, perubahan-perubahan iklim. Iklim di planet yang berumur 4.7 juta tahun sudah pun berubah secara drastik menjadikan badai sering bertiup, kebakaran-kebakaran hutan yang dahsyat sering terjadi, hujan dan kemarau tidak menentu, cairnya ais di Antartika, kian menipisnya lapisan ozon, pada musim sejuk, salji turun di Khutub Utara, kemudian pada musim panas pula salji turun di sebelah Selatan seperti di Australia dan New Zealand. Salji itu turun luar biasa lebatnya.
Tidakkah ini, kata yang Berhormat Pehin menunjukkan bahawa cuaca dunia atau iklim telah pun benar-benar berubah seiring dengan kedudukan matahari juga telah dan sedang giat berubah. Maka pastinya, seperti sahaja esok atau lusa, akan tibalah masa untuk matahari beralih tempat, terbit dari arah Barat.
Sebab itu, tegasnya, jangan tangguh lama-lama, jangan tunggu esok atau lusa atau sebulan lagi baru hendak bertaubat, jangan! Kerana ajal di tangan Tuhan, dan begitu juga masa akan terbitnya matahari dari Barat, hanya Allah sahaja yang tahu untuk menentukan, sementara kita tidak mengetahui apa-apa mengenainya.
Oleh itu, tegas Yang Berhormat Pehin lagi memang wajarlah untuk kita segera bertaubat dan kita umat Islam sangat-sangat wajar untuk ramai-ramai bertaubat.
Konsep ramai-ramai bertaubat, menurut Yang Berhormat Pehin adalah tuntutan Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu (sekalian) kepada Allah…’
“Sekalian kita, jangan ada yang bertinggalanan, tetapi semua. Tuntutan bagi kita di Brunei ialah senegara. Senegara kita ramai-ramai bertaubat, bukan enggan bertaubat, atau patah hati untuk bertaubat, kerana menganggap atau menyangka, Allah tidak akan mengampunkan lagi dosa yang telah dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun lamanya, jangan anggap begitu…! Anggapan seperti ini tidak betul. Yang betulnya, berapa banyak pun dosa, dengan taubat, Allah sedia mengampunkan,” jelasnya.
Taubat, kata Yang Berhormat Pehin bukan sahaja menghapus dosa-dosa tetapi juga menjadi penyebab turunnya rahmat, menjadi sebab melimpah-limpah nikmat, menjadi sebab luasnya rezeki, menjadi sebab sembuh penyakit, menjadi sebab tertolaknya bala, menjadi sebab umur panjang, menjadi sebab hilang dukacita, menjadi sebab hajat tercapai.
Kerana itu, katanya Hassan al-Bashri, seorang ulama besar dan wali Allah, apabila beliau itu ditanya: “Wahai Hassan, saya sakit, apakah yang patut saya buat?” Menjawab Hassan: “Baca Istighfar.” (Lafafz Istighfar ialah “Astaghfirullah” – ertinya: Aku bertaubat memohon ampun kepadaMu, Ya Allah). Kemudian datang pula seorang lain bertanya: “Wahai Hassan, hidup saya sempit/susah, apakah yang patut saya buat?”
Menjawab Hassan: “Baca Istighfar.” Datang lagi orang lain, juga bertanya: “Wahai Hassan, saya sudah lama berkahwin tetapi belum mendapat zuriat, apakah yang patut saya buat?” Menjawab Hassan: “Baca Istighfar”, dan muncul pula seorang lain lagi bertanya: “Wahai Hassan, saya sering-sering sahaja didatangi oleh musibah, apakah yang patut saya buat?” Hassan tetap menjawab: “Baca Istighfar.”
Akhirnya, tampil seorang yang menyaksikan peristiwa ini, bertanya: “Wahai Hassan, mengapakah, semua pertanyaan yang berbeza, tetapi tuan hanya menjawab dengan satu jawapan sahaja, menyuruh semua yang bertanya membaca Istighfar?” Menjelaskan Hassan: “Tidakkah kamu membaca ayat, (tafsirnya): “Maka aku (Nabi Nuh) berkata (kepada kaumnya) pohonkanlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian itu), Dia (Allah) akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia juga akan memberikan kepada kamu banyak harta dan ramai anak pinak, serta juga akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun yang subur dan sungai-sungai yang mengalir air di dalamnya.” (Surah Nuh: 10 – 12)
“Ayat ini menurut Hassan al-Bashri menjadi dalil bahawa setiap kesulitan atau kesusahan itu ubatnya ialah taubat atau Istighfar dan juga sekali gus merupakan jaminan Allah terhadap orang-orang yang bertaubat akan diampunkan dosa mereka, akan diturunkan hujan (rezeki), akan dikurniakan harta yang banyak dan anak pinak, kebun-kebun yang subur dan sungai-sungai yang mengalir air di dalamnya.
“Kerana itu, para Muslimin yang dihormati, jangan pandang rendah orang yang bertaubat, kerana Allah tidak memandang rendah orang bertaubat. Malah Allah menghormati orang bertaubat dan bahkan, Allah mengasihi orang bertaubat,” tegasnya.