Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mungkin gimbaran ayah

    Oleh MRS BER –

    Beberapa bulan lalu, ada sebuah cerita yang terjadi ke atas kanak-kanak yang berumur enam tahun, setelah dibaca hingga selesai, maka saya pun teringat kembali peristiwa yang terjadi ketika saya berumur lima tahun. Semua peristiwa ini terjadi pada tahun 1990an.

    PERISTIWA PERTAMA

    Pada suatu malam ketika sedang tidur lena, saya terbangun kerana bunyi ibu berdengkur.
    Saya memandang ke arah jam yang menunjukkan pukul 12 tengah malam.

    Ketika itu saya tidur di bilik ibu dan saya terkejut apabila melihat dua orang perempuan yang bertubuh kecil, ‘seorang’ mempunyai sepasang mata berwarna hijau dan ‘seorang’ lagi mempunyai mata berwarna merah.

    Rambut mereka panjang mengurai hingga ke lantai dan memakai jubah hitam sambil duduk mengurut kaki ibu.

    Apabila mereka menyedari yang saya terbangun lalu mereka senyum tanpa melihatkan gigi mereka. Oleh kerana ketika aku tidak tahu apa-apa, maka aku pun tidur semula.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Keesokan harinya aku memberitahu ibu mengenai perkara yang berlaku semalam tetapi dia tidak percaya.

    Kemudian aku memberitahu nenek tentang kejadian semalam. Nenek mempercayaiku lalu berkata kanak-kanak tidak pandai berdusta. Aku berpuas hati kerana nenek mempercayaiku.

    PERISTIWA KEDUA

    Ketika itu saya demam dan ibu dan ayahlah yang menjaga saya sehingga sembuh. Saya tidur di sisi ayah dan terbangun kerana kehausan.

    Belum pun sempat saya membangunkan ayah, mata saya tertumpu kepada botol lada dan air yang diletakkan di atas lantai di siang hari (selepas abang dan kakak makan dan terlupa menyimpan di dapur) itu berbunyi.

    Mula-mula sekali saya terdengar bunyi penutup botol lada itu seperti dibuka lalu di lepaskan, kemudian, botol air daripada plastik itu seperti bunyi dipegang. Saya hairan.

    Tidak tahu siapa yang melakukannya.

    Dengan cepat sahaja, ada sesuatu ‘percikan’ yang terkena di hujung mata kiri saya.

    Saya menjadi serba salah kerana jika saya menutup mata ia akan terasa sakit tapi jika saya hendak membuka mata pun terasa sakit juga. Oleh kerana ‘percikan’ itu membuatkan mata saya terasa pedas maka saya pun membangunkan ayah di sisi saya.

    Setelah ayah menawari berkuranglah juga sakitnya. Lalu saya pun tertidur.

    Pada pagi esoknya, ayah memberitahu kami bahawa ada ‘seorang’ lelaki berkulit hitam, bertubuh sasa, berambut ‘kerebo’ dan tinggi, mengintai dari tingkap. Dia merenung saya, cerita ayah dengan emosi. Kemudian dia pun berlalu… Alhamdulillah dengan izinNya jua saya sembuh seperti sediakala. Tidak ada apa-apa yang berlaku selain saya sembuh.

    PERISTIWA KETIGA

    Sewaktu ayah sedang menunaikan haji di Mekah, kami tidak dibenarkan oleh ayah tidur di atas katilnya. Pada suatu malam, saya terbangun daripada tidur kerana kehausan. Saya sempat melihat jam yang menunjukkan pukul 2 pagi. Saya lalu duduk dan kemudiannya menoleh ke katil.

    Nyatanya ‘seorang’ lelaki sedang bersembahyang dan tangannya (yang kanan) digenggamnya kecuali telunjuknya. Badannya senget.

    Saya tergamam kerana hairan. Saya memerhatikannya. Matanya tertutup rapat. Mulutnya bergerak-gerak. Ketika itu, saya fikir ayah yang sembahyang, tetapi kenapa ayah memakai ‘serban polis’ di Mekah? Saya tidak pernah melihat pun ayah memakai ‘serban polis’.

    SERBAN

    Cahaya yang agak samar-samar itu membuatkan saya tidak berapa nampak baju yang dipakainya. Seingat saya ‘dia’ memakai jubah. Oleh kerana saya terlalu mengantuk lalu saya pun tidur.

    Keesokannya, saya memberitahu ibu tetapi dia tidak menghiraukannya, kebetulan nenek yang mendengar kejadian itu percaya kerana katanya ia besar kemungkinan adalah ‘gimbaran’ bapa, dan menjaga kami ketika ketiadaan ayah. Tetapi kenapa dia memakai serban polis di Mekah?

    Adakah dia terbang berulang-alik dari Mekah ke Brunei demi menjaga kami?

    Selepas menceritakan kisah semalam, saya pun ke ruang tamu untuk menonton televisyen.

    (Maklumlah ke Sekolah Pra waktu petang) saya pun berbaring dekat pintu utama. Kepala saya betul-betul dengan pintu. Ketika itu pintu dibuka oleh nenek untuk menyedut udara lagi.

    Belum pun lama saya menonton televisyen, dengan izin-Nya maka datanglah seorang lelaki tanpa berkaki, memakai jubah hitam masuk ke rumah. Ketika itu saya berbaring dan melihat dari bawah.

    Oleh kerana takut dipijak kepala saya, dengan cepatnya saya pun berlari menuju ke dapur.

    Kebetulan ketika itu nenek memasak. Saya terus bersembunyi di bawah meja makan. Saya pun memberitahu nenek tetapi dia hanya mentertawakan saya.

    PERISTIWA KEEMPAT

    Ketika bangun pagi, saya dapati tiada orang di rumah, kerana kakak dan abang pergi ke sekolah. Manakala ibu bapa saya pula bekerja, maka tinggallah saya seorang. Saya pun mandi dan memakai pakaian, lalu keluar kerana hendak ke rumah nenek di sebelah.

    Ketika saya melangkah keluar, saya dapati ada sehelai kain melayang-layang untuk menghalang saya ke rumah nenek. Kain itu tidak bertuan. Hanya nampak potongan lengan, seperti baju yang tidak berjahit.

    Oleh kerana takut, saya beranikan diri untuk melanggar ‘benda’ tersebut. Saya tidak merasakan apa-apa apabila melanggar kain itu Ketika saya berlari. Apabila sampai ke rumah nenek, kedengaran hentakan kuat dari betis saya yang mana rumah nenek dibuat dari kayu (di Kampong Ayer).

    Begitulah peristiwa-peristiwa yang pernah saya alami ketika saya berumur lima tahun dan sehinggalah sekarang ia masih lagi segar dalam ingatan saya. Semua peristiwa itu benar-benar berlaku kepada saya. lanya realiti bukannya direka-reka.

    Terpulanglah kepada pembaca untuk mempercayainya atau tidak. Yang pasti, semua peristiwa ini tetap menjadi tanda tanya bagi saya.

    Walau bagaimanapun, semuanya adalah kehendak Allah jua. Wallahuaklam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda