TEHRAN, 10 Jan – Syarikat Iran yang kapal tangki minyaknya terbakar selepas satu perlanggaran di Laut China Timur berkata masih timbulnya harapan untuk mencari mangsa selamat apabila 31 anggota kru masih hilang dan usaha menyelamat diteruskan hari ini.
Tatkala kapal tangki Sanchin masih senget setelah berlanggar dengan kapal pengangkut dengan pendaftaran di Hong Kong CF Crystal pada lewat Sabtu, seorang jurucakap National Iranian Tanker Co memberitahu The Associated Press di Tehran bahawa anggota menyelamat ‘mungkin’ akan menemui mangsa yang hidup.
“Memandangkan bilik enjin kapal tidak terjejas oleh kebakaran dan berada kira-kira 14 meter di bawah air, masih timbulnya harapan,” kata jurucakap Mohsen Bahrami lewat semalam.
“Kami bertungkus-lumus memadamkan api dan menyelamat mangsa.”
Mayat seorang daripada 32 anggota kru telah pun ditemui dan dibawa ke Shanghai untuk dikenal pasti, kata Bahrami.
Mahmoud Abuli Ghasemabadi, adik kepada kelasi Iran yang hilang Ehasan Abuli Ghasemabadi, berkata beliau dan ahli keluarga lain masih menaruh harapan untuk menerima berita baik.
“Saya meminta negara-negara di rantau dan yang boleh menawarkan bantuan supaya membantu kami menangani situasi ini secepat mungkin,” kata Ghasemabadi.
Kapal Sanchin yang berdaftar di Panama mempunyai kru yang terdiri daripada 30 warga Iran dan dua warga Bangladesh, lapor media China. Seramai 21 anggota kru daripada semua kru China di Crystal telah diselamatkan.
Masih tidak jelas apa yang menyebabkan perlanggaran di Laut China Timur pada Sabtu, 257 kilometer di luar pantai Shanghai. – AP