Pelakon dan model terkenal Malaysia, Amber Chia dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur selepas mengalami kecederaan di bahagian dagunya hari ini.
Menurut mStar, menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram, Amber, 43, berkongsi wajahnya berlumuran darah akibat kecederaan tersebut.
Lebih mengerikan lagi apabila darahnya itu juga menitik dengan banyak di atas lantai rumahnya.
Pun begitu, dia tidak berkongsi secara terperinci mengenai punca kecederaan yang dialami namun memaklumkan dia berada dalam keadaan penat.
“Mungkin terlalu penat, maaf,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Amber juga berkongsi dirinya kini sedang terbaring di katil hospital dipercayai bagi mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Sehubungan dengan itu, rata-rata pengikutnya terkejut dengan perkhabaran tersebut sekali gus mendoakan kesembuhan dirinya.
“Amber tolong berhati-hati, jangan terlalu penat. Risau lihat wajah awak penuh darah.
“Dapatkan rehatkan yang cukup Amber! Harap tiada apa yang serius!,” antara komen yang ditinggalkan warganet. – Agensi
