Mungkir janji punca Benitez pergi

LONDON, 13 OGOS – Rafael Benitez berkata janji yang dimungkiri oleh pemilik Newcastle, Mike Ashley, memainkan peranan utama dalam keputusannya untuk meninggalkan kelab Liga Perdana itu ke pasukan Liga Super China, Dalian Yifang.

Benitez meninggalkan Newcastle apabila kontraknya mansuh pada akhir musim lepas setelah tiga tahun di St James’s Park, yang dicemari dengan beberapa perbalahan dengan Ashley.

Perpindahan mewah jurulatih dari Sepanyol itu ke Dalian, dilaporkan mempersetujui perjanjian 12 juta pound setahun, telah mencetuskan pertuduhan daripada Newcastle bahawa dia hanya menerima tawaran dari China itu kerana alasan wang.

Steve Bruce menggantikan Benitez sebagai pengurus Magpies, namun perbalahan berterusan, dengan ketua eksekutif Newcastle, Lee Charnley menulis dalam majalah perlawanan ketika menentang Arsenal bahawa bekas bos Liverpool dan Real Madrid itu membuat keputusan bermotivasikan wang.

Tetapi dalam satu kolum bagi The Athletic, Benitez menjelaskan bahawa dia dikecewakan oleh hierarki Newcastle, yang menurutnya gagal untuk menyokong kemahuannya bagi pelaburan dalam infrastruktur kelab, serta gagal menawarkannya satu kontrak baharu di akhir musim lepas. – AFP