MUNICH, 27 MAC – Bayern Munich berdepan cabaran untuk bersaing dalam saingan liga dan Liga Juara-Juara tanpa dua pemain utama mereka, Dayot Upamecano dan Alphonso Davies, yang pulang dari tugasan antarabangsa dengan kecederaan, umum kelab gergasi Jerman itu, kelmarin.
Pemain antarabangsa Kanada, Davies, 24, yang merupakan tonggak utama di bahagian tengah Bayern, mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) di lutut kanannya semasa kemenangan 2-1 ke atas Amerika Syarikat pada Ahad dalam Liga Negara-Negara CONCACAF.
Bayern mengesahkan bahawa Davies akan terlepas baki musim ini dan dijangka berehat selama enam bulan.
Sementara itu, pertahanan Upamecano akan diketepikan selama beberapa minggu selepas mengalami kecederaan lutut kiri ketika Perancis menewaskan Croatia 2-0 dalam suku akhir Liga Negara-Negara pada Ahad.
Walaupun cedera, pemain berusia 26 tahun itu masih sempat menjaringkan gol dalam penentuan sepakan penalti selepas agregat berakhir 2-2, membantu Perancis mara ke separuh akhir untuk bertemu juara Eropah, Sepanyol.
“Malangnya, selalu ada risiko pemain kembali dari rehat antarabangsa dengan kecederaan – kali ini kami menerima tamparan hebat,” kata ahli lembaga sukan Bayern, Max Eberl, di laman web rasmi kelab.
“Kehilangan Alphonso Davies dan Dayot Upamecano memberi kesan besar kepada FC Bayern. Kami mempunyai skuad yang kuat dan akan menyesuaikan diri dengan ketiadaan mereka.” – AFP
