ISKANDAR PUTERI, 13 OGOS – Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menggesa barisan pemainnya lebih konsisten dan berdisiplin terutama di bahagian pertahanan walaupun mencatat kemenangan 5-3 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi mendebarkan Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, semalam.
Munoz mengakui JDT memulakan perlawanan dengan agak perlahan sekali gus membenarkan pasukan lawan melakukan serangan balas yang mendedahkan kelemahan di bahagian pertahanan.
“Hari ini (semalam) pemain sedikit leka dalam lima minit pertama dan memberi ruang lawan menjaringkan gol menerusi serangan balas… kita perlu lebih konsisten, kuat di kedua-dua bahagian (pertahanan dan serangan) dan keutamaan adalah tanpa bolos,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan semalam.
Jurulatih dari Sepanyol itu turut menekankan kepentingan untuk pemain belajar daripada situasi sebegitu dan menyesuaikan diri sepanjang berlangsungnya liga. – Bernama










