Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Munster sumbang kepakaran, tingkat kualiti

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD) telah melantik Paul Christopher Munster sebagai pengarah teknikal baharu selepas menandatangani kontrak pada majlis yang diadakan di Dewan Serba Guna, Rumah FABD di Jalan Pusat Persidangan, hari ini.

    Pengarah teknikal warganegara Ireland Utara itu, yang mempunyai pengetahuan meluas tentang bola sepak Asia, akan mengambil alih peranan yang ditinggalkan oleh Sivaji Narayanan.

    Semasa temu bual bersama pemberita Munster berkata, “Saya sangat teruja untuk berada di sini. Saya gembira bahawa presiden FABD, ahli-ahli jawatankuasa eksekutif dan semua orang ingin saya datang ke sini.

    “Saya menyahut cabaran untuk membantu semua orang, pemain, jurulatih dan menjadikan FABD lebih kuat di dalam dan luar padang,” tambahnya.

    “Banyak tugasan perlu dilakukan tetapi saya tidak sabar untuk memulakannya,” kata bekas pemain bola sepak profesional itu.

    Pengiran Haji Matusin dan Paul Munster bergambar selepas majlis penandatanganan kontrak pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Rumah FABD, kelmarin.

    Munster, sebelum ini pernah bertugas di Indonesia dan India, berkata bahawa FABD menghubunginya selepas dia mengambil masa untuk berehat daripada tugasan pengurusan.

    “Pada waktu itu saya sedang mencari cabaran baharu. Saya melakukan tugasan dengan baik sewaktu berada di Indonesia dan saya tidak memegang sebarang peranan buat seketika.

    “Saya berehat selama beberapa bulan kerana saya tidak berhenti bekerja selama lima tahun,” kata Munster, yang menjadi jurulatih buat pasukan Indonesia, Bhayangkara FC dari 2019 hingga 2022.

    “Cabaran ini muncul pada waktu yang tepat,” tambahnya.

    Ini merupakan tugasan kedua buat Munster bersama pasukan kebangsaan, di mana sebelum ini beliau pernah menjadi ketua jurulatih bagi pasukan kebangsaan Vanuatu.

    Beliau menekankan bahawa FABD menunjukkan cita-cita untuk menjadi lebih baik dan keinginan mereka untuk bertambah baik dan ini dibuktikan dengan menyediakan kemudahan dan infrastruktur.

    Munster, yang bermain sebagai penyerang semasa mewakili London City di Kanada, turut mengongsikan perancangannya untuk melibatkan lebih ramai kanak-kanak bermain bola sepak dan membina pangkalan data pemain yang lebih besar.

    Sementara itu, Presiden FABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan berkata, “Paul dibawa ke sini untuk menyumbangkan kepakaran agar kualiti bola sepak di negara ini semakin meningkat.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda