IPOH, 30 SEPT – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia Bahagian Negeri Perak menghasilkan beberapa lukisan mural 3D yang antaranya menggambarkan gabungan ikon warisan sejarah bandar
itu.
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata antara lokasi yang dipilih ialah di Zoo Taiping & Night Safari dengan enam lukisan mural iaitu harimau belang, memerang, zirafah, buaya, ular, dan titi gantung.
“Di Jalan Syed Burhan pula terdapat mural Antong sepanjang 100 meter (m) dan tinggi 6.38m melibatkan lakaran proses penghasilan Kopi Antong yang dilakukan secara tradisional.
“Seterusnya ialah mural Selamat Datang Ke Bandar Taiping yang berukuran 34.7m lebar dan 16.15m tinggi menggambarkan gabungan ikon warisan sejarah Taiping serta pelbagai aktiviti luar yang boleh dinikmati di bandar ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jejak Warisan Sejarah Bandar Taiping di Zoo Taiping & Night Safari, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia Bahagian Negeri Perak, Razali Awang Mohd Noor.
Beliau berkata setiap mural ini memberikan ilusi 3D yang membolehkan pengunjung bergambar dengan lebih santai seterusnya mampu menarik minat lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati keunikan bandar Taiping. – Bernama