SINGAPURA, 17 DIS – Para pelancong yang tiba di Phuket, destinasi popular dalam kalangan warga Singapura, baru-baru ini dikejutkan dengan mural yang memaparkan tarikan utama pulau tersebut seperti Kuil Chaithararam, Big Buddha Phuket dan Phuket Old Town.
Namun, yang mencuri perhatian ialah rumah kedai Peranakan berwarna-warni di Jalan Koon Seng, kawasan Joo Chiat di Singapura.
Mural itu mencetuskan kekecohan dalam talian, sekali gus mendorong pihak pengurusan lapangan terbang mengeluarkan permohonan maaf dalam satu kenyataan rasmi.
Perkara tersebut pertama kali dibangkitkan oleh pengguna Facebook, Ejijum Phuket pada 16 Disember, yang menyifatkan gambar itu sebagai memalukan.
“Seorang rakan yang tiba di lapangan terbang Phuket mengirimkan gambar tersebut kepada saya, bertanya di mana lokasinya. Saya sendiri terpinga-pinga. Adakah ini Lod Chong City (Singapura)?” katanya seperti dilaporkan portal berita Thailand, Thaiger.
“Kenapa tidak menggunakan rumah agam, kedai dan jalan indah kita sendiri, sebaliknya mengambil gambar dari negara jiran? Ini sangat memalukan. Tolong turunkan gambar itu.”
Beliau menegaskan bahawa rumah kedai dengan gaya seni bina serupa turut wujud di Phuket Old Town.
Kiriman itu mendapat perhatian dengan 1,300 reaksi, 182 komen dan 105 perkongsian setakat jam 5 petang, hari ini.
Rata-rata warganet mengkritik pihak pengurusan lapangan terbang kerana mempromosikan mercu tanda negara lain dan menuntut permohonan maaf segera. – ANN/The Straits Times