Murid 12 tahun ke bawah dibenar hanya pakai pelindung muka

KUALA LUMPUR, 25 OGOS – Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dibenarkan untuk hanya memakai pelindung muka ketika ke sekolah, tanpa perlu memakai penutup mulut dan hidung pakai buang, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini dan dipersetujui Ke-menterian Kesihatan (KKM), katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun penggunaan pelindung muka bersama penutup mulut dan hidung adalah digalakkan.

“Jika mereka pakai pelindung muka dan pakai penutup mulut dan hidung itu lebih baik, tetapi kalau tiada penutup mulut, ada pelindung muka sahaja pun sudah boleh dianggap pelin-dung kepada kesihatan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata kelonggaran itu diberikan kerana memikirkan kos pembelian penutup mulut dan hidung pakai buang yang agak membebankan keluarga pelajar yang miskin, terutamanya apabila mereka mempunyai anak yang ramai. – Bernama