Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Murid cedera terhempap tingkap helikopter AS

    TOKYO, 13 Dis – Tingkap helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) jatuh di kawasan lapang sebuah sekolah rendah di Okinawa hari ini telah mencederakan seorang murid, lapor agensi berita China Xinhua.

    Pihak berkuasa wilayah itu dimaklumkan sebahagian tingkap milik helikopter CH-53E berukuran satu meter persegi terjatuh di sekolah rendah Futenma Ginowan City, Okinawa, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10:15 pagi waktu tempatan (0115 GMT).

    Guru-guru di sekolah itu, berkata ketika kejadian terdapat 30 murid dari gred empat sedang mengikuti pelajaran jasmani.

    Okinawa, menjadi tuan rumah kepada sebahagian besar pangkalan tentera AS di Jepun, menyebabkan sentimen anti-AS meningkat di wilayah berkenaan.

    Tentera AS mengatakan objek yang jatuh itu adalah tingkap helikopter CH-53E yang dimiliki oleh pangkalan tentera Futenma.

    “Kejadian itu amat dikesali dan kami memohon maaf kerana telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat negara berkenaan,” kata Angkatan Tentera Marin AS dalam kenyataan akhbar.

    Pihak polis dan penyiasat tempatan dengan kerjasama Tentera AS serta Biro Pertahanan serantau akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut.

    Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera menggesa tentera AS agar menangguhkan penerbangan helikopter daripada jenis yang sama sehingga ciri keselamatannya dapat disahkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda