Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Murid CP mahu tawan Gunung Kinabalu

    SEMENYIH – Tiada siapa sangka, kekurangan fizikal yang membatasi pergerakan seharian Arif Aiman Roskarbani tidak menghalang beliau, seorang penghidap palsi serebrum (CP) berusia 11 tahun, untuk sampai ke puncak Bukit Broga di sini.

    Namun kejayaan pendakian di bukit setinggi 400 meter itu masih belum cukup untuk memberi kepuasan buat dirinya. Kini kanak-kanak yang lebih mesra dengan panggilan Aiman itu menanam cita-cita dan keazaman untuk menawan Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Malaysia.

    Bagi murid Berkeperluan Khas (MBK) dari Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 2 itu, kekurangan fizikalnya yang tidak mampu berdiri mahupun berjalan akibat penyakit dialami bukanlah penghalang untuk mencapai impian berkenaan.

    “Biarpun bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang dan menggunakan kerusi roda serta papan selaju untuk bergerak, tetapi pengalaman menikmati keindahan alam di puncak Broga membuatkan Aiman mahu ke Gunung Kinabalu iaitu ketinggian 4,095 meter.

    “Pasti di sana pendakian lebih sukar tetapi pemandangannya juga lebih cantik dan cuaca sejuk, kalau Aiman berjaya daki mesti akan jadi inspirasi kepada kawan-kawan lain untuk buktikan kemampuan insan seperti kami melakukan aktiviti mencabar,” katanya kepada Bernama.

    Arif Aiman Roskarbani dibantu oleh sukarelawan untuk mendaki kelihatan teruja apabila sampai di puncak ketika menyertai Program Pendakian Murid Berkeperluan Khas (MBK) Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 2 ke puncak Bukit Brogar. – Bernama
    Arif Aiman Roskarbani dibantu oleh sukarelawan untuk mendaki kelihatan teruja apabila sampai di puncak ketika menyertai Program Pendakian Murid Berkeperluan Khas (MBK) Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 2 ke puncak Bukit Brogar. – Bernama

    Aiman ditemui Bernama ketika bersama 16 rakan MBK lain dibawa mendaki Bukit Broga dalam satu aktiviti khas yang diadakan bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada golongan sepertinya menikmati cabaran aktiviti luar, baru-baru ini.

    Bapanya, Roskarbani Ibrahim berkata Aiman yang disahkan mengidap palsi serebrum sejak lahir turut mempunyai masalah kesihatan lain melibatkan bahagian jantung, telinga dan perut yang memerlukan beberapa rawatan termasuk pembedahan pada masa akan datang.

    “Faktor kesihatan mahupun penyakit yang memberi kesan kepada pergerakan dan keupayaan kakinya itu tidak pernah melemahkan semangat Aiman, Dia tidak pernah mengeluh, malah begitu teruja untuk mendaki di bukit setinggi 400 meter ini, biarpun perlu didukung untuk sampai ke puncak,” katanya.

    Sementara itu, guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 2, yang juga penyelaras program itu, Afandi Arief Amru, 29, berkata kejayaan misi pendakian Bukit Broga bersama anak muridnya merupakan satu pengalaman istimewa.

    Katanya, ia adalah impian yang berjaya dilaksanakan dengan sempurna tatkala melihat riak keterujaan dan kegembiraan di wajah semua anak muridnya ketika berada di puncak Broga.

    “Saya harap program yang melibatkan penyertaan murid autisme, palsi serebrum, lembam dan masalah pertuturan ini membuka mata masyarakat bahawa pentingnya untuk kita memberi layanan sama rata kepada mereka seperti insan normal.

    “Objektif program ini juga bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap pekerjaan sebagai pendidik bagi golongan MBK yang selama ini sering diperlekeh dan kurang dihargai sumbangannya dalam pembentukan anak bangsa,” katanya.

    Ketua sukarelawan program pendakian Bukit Broga Bersama MBK, Syed Nuaim Syed Hamzah berkata beliau bersama 70 sukarelawan lain dari kumpulan dikenali sebagai ‘Pakatan Bejalan’ amat gembira melihat keghairahan peserta sepanjang pendakian terutama ketika tiba di puncak.

    “Riak gembira yang terukir di wajah anak-anak istimewa ini sambil menikmati panorama di puncak cukup memberi kepuasan kepada kami dan merupakan hadiah paling bermakna selepas mengerah kudrat membawa mereka dari kaki bukit ke puncak.

    “Lebih mengharukan, sewaktu kami berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan turun, Aiman mewakili murid lain menzahirkan rasa terima kasih kepada kami para sukarelawan yang membantu mereka sepanjang pendakian dengan menyanyikan beberapa buah lagu,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda