Sunday, February 9, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Murid pra mula alam persekolahan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Seramai 2,869 orang kanak-kanak berumur lima tahun terdiri daripada 1,496 orang murid lelaki dan 1,373 orang murid perempuan yang berdaftar untuk mengikuti pembelajaran peringkat prasekolah tahun ini, telah memulakan alam persekolahan di sekolah-sekolah rendah kerajaan di seluruh negara, kelmarin.

    Sebanyak 116 buah sekolah rendah kerajaan di negara ini telah menyediakan kelas-kelas prasekolah pada tahun ini.

    Kementerian Pendidikan dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan bahawa sebagai persediaan bagi membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan suasana sekolah, kementerian itu melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak (UPAKK) telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Program Orientasi Prasekolah untuk Kanak-kanak Baharu Prasekolah Tahun 2024, Program Kemasukan dan Pendaftaran Kanak-kanak Prasekolah Secara Berperingkat-peringkat dan Program Sukarelawan Pelajar Tingkatan Enam Atas dan Tahun 11 Sebagai Pembantu Guru bagi Kelas Prasekolah.

    Kementerian Pendidikan turut menyatakan mengikut pindaan Akta Pendidikan Wajib, tahun 2024 merupakan permulaan bagi kanak-kanak yang mencapai umur lima tahun untuk wajib bersekolah, khususnya mereka yang terdiri daripada warga Negara Brunei Darussalam dan yang bermastautin di negara ini.

    Bagi kanak-kanak yang mencapai umur lima tahun pada 31 Disember adalah diwajibkan mendaftar bagi kemasukan prasekolah bermula awal tahun berikutnya. Bagi kanak-kanak yang belum berkesempatan untuk didaftarkan, para ibu bapa atau penjaga masih diberikan peluang bagi mendaftar di sekolah rendah masing-masing.

    Suasana kelas murid-murid prasekolah yang memulakan alam persekolahan mereka di Sekolah Rendah Bendahara Sakam, Bunut semasa tinjauan Media Permata, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda