Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Jika dahulu, tangisan murid-murid pra yang baru memasuki alam persekolahan adalah sesuatu yang lumrah dihadapi oleh para guru dan ibu bapa pada setiap musim awal tahun persekolahan.
Namun keadaan sudah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana perkara tersebut sudah jarang berlaku malah murid-murid pra menunjukkan minat dan perasaan teruja mereka untuk hadir ke sekolah.
Hari pertama persekolahan disambut dengan wajah yang penuh ceria dan penuh yakin melangkah masuk ke dalam kelas.
Perkara itu dikongsikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Tungku, Dayang Asmahuraini binti Haji Awang Majid semasa temu bual media ke sekolah berkenaan hari ini.
Katanya lagi, “Ini adalah satu petanda positif bahawa murid-murid pra semakin bersedia, berdikari dan yakin untuk meneroka dunia baharu pembelajaran.”
Selain itu, ia juga mencerminkan hasil usaha dan kerjasama antara ibu bapa dan guru-guru dalam mempersiapkan mereka secara mental dan emosi seperti melaksanakan program orientasi, taklimat ibu bapa serta menyediakan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.
Menyentuh mengenai persediaan awal pihak sekolah dalam menerima murid pra sekolah bagi sesi persekolahan penggal pertama tahun akademik 2025, beliau turut mengongsikan beberapa aspek penting telah diambil.
Antaranya dengan membuat perancangan awal iaitu dengan mengadakan program orientasi dan taklimat kepada ibu bapa dan penjaga untuk memberi penerangan tentang rutin sekolah dan keperluan pelajar yang telah diadakan pada awal November 2024.
Manakala persediaan untuk tenaga pengajar pula, pihak sekolah telah menyediakan guru-guru yang berkemahiran, berkelayakan dan mempunyai pengalaman mendidik dan mengendalikan pelajar prasekolah, selain memastikan guru-guru yang terpilih telah menghadiri bengkel mengenai pendekatan pedagogi prasekolah dan teknik pengurusan bilik darjah yang efektif.
Dengan persiapan yang komprehensif itu, jelasnya, pihak sekolah dapat memastikan peralihan yang lancar untuk pelajar pra sekolah yang memulakan tahun akademik 2025.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Rendah Rimba I, Awang Mohd Azmi bin Haji Yakup pula mengongsikan persediaan sekolah berkenaan dalam menerima kehadiran murid pra dengan menyediakan infrastruktur dan fasiliti yang lengkap, kondusif dan bersih serta dapat menarik perhatian atau hati murid-murid yang hadir.
Selain mengongsikan aktiviti untuk minggu pertama persekolahan, pihak sekolah telah menyediakan pelan tindakan yang lebih memfokus kepada ‘Play Based Learning’ bertujuan untuk meningkatkan perkembangan interaksi sosial dalam kalangan murid dan guru.
“Di samping itu, guru-guru juga mula mengajar pengenalan asas literasi dan numerasi menerusi pelbagai aktiviti yang bersesuaian seperti Sticker Name Activity, Hand Print Activity, menyanyi, menari dan sebagainya,” jelasnya.
Pada tahun ini, sebanyak 116 buah sekolah rendah kerajaan telah menawarkan kelas-kelas prasekolah dan sesi persekolahan bermula hari ini di sekolah-sekolah rendah kerajaan di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, seramai 2,755 kanak-kanak berumur lima tahun telah didaftarkan untuk mengikuti pembelajaran peringkat prasekolah tahun ini, di mana 1,431 adalah kanak-kanak lelaki manakala 1,324 adalah perempuan.
Sebagai persediaan bagi membantu kanak-kanak untuk menyesuaikan diri dengan suasana sekolah, Kementerian Pendidikan melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak (UPAKK), Jabatan Sekolah-se-kolah telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk mengadakan Program Orientasi Prasekolah Untuk Kanak-kanak Baharu Prasekolah Tahun 2025, Program Kemasukan dan Pendaftaran Kanak-kanak Prasekolah Secara Berperingkat-peringkat dan juga Program Sukarelawan Pembantu Guru Prasekolah Tahun 2025.