Sudah hampir 10 tahun saya menjadi guru. Dahulu, apabila saya melangkah masuk ke kelas, pelajar akan senyap secara automatik. Mata mereka menunduk, hormat masih terpancar jelas. Tapi hari ini, lain sekali keadaannya. Saya masuk kelas, mereka masih berbual. Ada yang memakai fon telinga, ada juga yang menatap telefon bimbit seolah-olah kehadiran saya tidak wujud.
Saya cuba bersabar. Saya percaya dengan pendekatan mesra, bukan garang. Tapi kadang-kadang, bila suara kita tidak lagi dihormati, bukan marah yang saya rasa tetapi kecewa.
Seorang pelajar pernah menjerit balik kepada saya hanya kerana saya menegur dia berbual semasa kelas. Malah, dia mengadu kepada ibu bapanya, yang kemudiannya mempersoalkan tindakan saya. Sejak bila guru tidak boleh menegur lagi?
Dulu, guru dihormati, bukan kerana ditakuti, tetapi kerana kedudukannya sebagai pendidik.
Hari ini, murid boleh melawan tanpa rasa segan. Kadang-kadang saya duduk di bilik guru, termenung lama. Apakah peranan kita masih dipandang mulia? Atau hanya dianggap pekerja yang perlu ikut telunjuk murid dan ibu bapa?
Saya bukan minta murid tunduk atau takut seperti zaman dahulu. Cukuplah kalau mereka tahu batas. Hormat bukan datang dari rotan atau suara tinggi, tetapi dari kesedaran bahawa guru ada tanggungjawab membentuk mereka menjadi insan mulia. Jika itu pun sudah tidak difahami, ke mana arah pendidikan kita?
Tiap kali saya ingin menyerah, saya teringat satu dua murid yang masih datang bertanya, masih menunjukkan adab dan sopan. Itulah yang membuat saya terus bertahan. Tapi dalam hati kecil ini, saya tetap bimbang – jika suatu hari nanti, tidak ada seorang pun yang peduli. Bila guru bercakap, mereka tidak mendengar. Bila guru memberi nasihat, mereka mentertawakannya.
Saya hanya mahu menjadi guru yang dihormati, bukan ditakuti. Tapi sekarang, saya mula tertanya-tanya, adakah itu masih mungkin?
Cikgu Rohani

NASIHAT DANG MP
Cikgu Rohani, apa yang cikgu alami mungkin juga pernah dirasai oleh guru-guru yang lain. Perubahan zaman ini turut membawa bersama perubahan sikap, norma dan cara berfikir murid.
Teknologi memberi akses, tapi juga kadangkala merampas adab. Bila usaha mendidik tidak lagi dihargai, ia bukan sekadar melemahkan semangat, malah mencabar harga diri guru.
Namun begitu, janganlah rasa hormat itu dianggap sudah pupus. Ia mungkin semakin jarang, tetapi bukanlah hilang sepenuhnya.
Pasti masih ada murid yang masih menyapa, bertanya khabar, dan menunjukkan adab sopan.
Merekalah bukti bahawa apa yang cikgu lakukan tetap berkesan. Satu jiwa yang berubah atas hasil didikan cikgu, itu sudah cukup untuk mengesahkan peranan cikgu masih bernilai.
Cikgu mungkin tidak sendiri. Ramai guru hari ini bergelut dalam ruang yang sama iaitu antara keinginan untuk mendidik dan keperluan untuk ‘mengikut arus’.
Tapi percayalah, hormat sebenar tidak lahir dari ketakutan, dan apa yang cikgu tanam hari ini mungkin hanya berbuah pada suatu masa nanti.
Cikgu teruskanlah mendidik dengan ikhlas, walau ada kalanya dunia terasa seperti tidak berpihak. Sebab guru bukan sekadar pekerjaan, ia adalah amanah. Amanah yang diam-diam mengubah dunia, satu generasi pada satu masa.
Semoga cikgu terus kuat semangat dan menganggap apa yang terjadi sebagai satu cabaran yang boleh diatasi.









