Murnikan niat laksana haji kerana Allah SWT

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Doa Selamat bagi memohon keselamatan pergi dan balik bagi 31 orang bakal-bakal haji warga KKBS yang akan menunaikan haji tahun ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis di Surau Bangunan KKBS tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis telah dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah, bacaan Ratib Al-Attas dan Doa Selamat bagi bakal-bakal jemaah haji.

Majlis kemudiannya diteruskan di Dewan Citra Budaya, Bangunan KKBS dengan nyanyian lagu kebangsaan bagi menzahirkan rasa cinta dan taat setia kepada raja yang dikasihi, bacaan Al-Quran dan diteruskan dengan tazkirah bertajuk ‘Haji yang Mabrur’ oleh Tenaga Pengajar Al-Quran dari Jabatan Belia dan Sukan, Haji Abdul Halim bin Haji Fuad.

Antara isi kandungan dalam tazkirah tersebut antara lain menjelaskan mengenai lima sifat bagi mendapat haji yang mabrur.

Antara lima sifat tersebut ialah haji tersebut dilakukan dengan ikhlas iaitu memurnikan niat dalam melaksanakan haji semata-mata hanya kerana Allah SWT tanpa riak dan sum’ah.

Selain itu, sifat-sifat lainnya ialah biaya pelaksanaan haji tersebut berasal dari harta yang halal; dilakukan dengan penuh akhlak yang mulia dan kelemah-lembutan serta dengan sikap tawaduk, menjauhi segala dosa dan perbuatan maksiat, segala macam perbuatan bidaah dan semua hal yang menyelisihi syariat dan dilakukan dengan penuh pengagungan terhadap sya’airullah (syiar-syiar Allah) iaitu berzikir, bertakbir, bertasbih, bertahmid dan beristighfar.

Majlis juga menyaksikan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan diakhiri dengan bacaan Doa Hajat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara. Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, para pengarah, pegawai kanan dan pegawai KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menghadiri sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan bacaan Ratib Al-Attas di Surau Bangunan KKBS.