LONDON, 1 Julai – Andy Murray berusaha untuk cergas bagi bersaing dalam Wimbledon tetapi bekas juara itu mengakui bahawa dia mungkin terpaksa untuk menarik diri jika perlu.
Murray dijadualkan beraksi dalam pusingan pertama menentang Benoit Paire dari Perancis Selasa ini.
Tetapi pemain nombor satu dunia itu, yang merangkul kejuaraan Wimbledon pada 2013 dan 2016 menjalani pemulihan yang agak pelahan selepas kembali daripada kecederaan pinggul Januari lalu.
Murray hanya beraksi tiga kejohanan sejak kembali beraksi minggu lalu selepas 11 bulan berehat.
Pemain berusia 31 tahun itu yang menyaksikan rankingnya jatuh kepada 156, menjalani pembedahan di pinggul kanan pada Januari lalu dan hanya kembali beraksi pada 18 Jun yang lalu apabila dikalahkan oleh Nick Kyrgios dalam pertandingan Queen’s Club.

Murray menewaskan Stan Wawrinka di Eastbourne pada Isnin lalu, tetapi tewas kepada Kyle Edmund pada Rabu.
Meskipun kekurangan latihan, bekas pemain nombor satu itu memilih untuk beraksi di Wimbledon, di mana dia bergelut dengan masalah pinggul ketika kekalahan suku akhir menentang Sam Querrey 12 bulan yang lalu.
“Ya, melainkan dalam masa beberapa hari seterusnya saya bangun dan tidak merasa bagus. Maksud saya, saya perlu melihatnya dari hari ke hari, hanya sebagai satu proses,” Murray memberitahu sidang akhbar apabila ditanya jika dia memutuskan untuk beraksi pada kejohanan Wimbledon.
“Saya berlatih pada peringkat tinggi, intensiti yang tinggi setiap hari bersama beberapa pemain terbaik dunia.
“Ia adalah positif bagi saya untuk berada dalam kedudukan lebih baik dan beraksi kembali.”
Tetapi, ketika Murray dilihat pasti untuk menghadapi Paire, pemain dari Scotland itu menyatakan dia masih kekurangan rentak yang menjadikannya juara utama tiga kali.
“Anda tahu, dalam sukan lain apabila anda kembali, anda tidak mahu untuk kembali dan bersaing menentang yang terbaik dunia serta-merta,” katanya.
“Terdapat beberapa perkara yang masih mengelirukan dan banyak perkara yang masih cuba saya usahakan.” – AFP