DENVER, 13 FEB – Satu-satunya perkara yang lebih panas daripada lontaran Jamal Murray semalam mungkin kemarahannya.
Pengawal Denver itu masih menyimpan dendam terhadap Portland Trail Blazers kerana disingkirkan akibat bergaduh pada Isnin lalu. Berdepan dengan mereka lagi dua hari kemudian, Murray membiarkan permainannya membuktikan dengan menjaringkan 55 mata, rekod terbaik dalam kerjayanya, dalam kemenangan Nuggets 132-121.
“Mereka (Trail Blazers) tidak sepatutnya berbuat begitu,” kata pemain utama Nuggets, Zeke Nnaji mengenai pertengkaran tersebut. “Apabila dia marah, tiada siapa di dunia ini yang boleh menghentikannya.”
Murray membangkitkan kenangan ‘Playoff Murray’ dalam perlawanan terakhir Denver sebelum rehat All-Star. Dia sukar untuk dikawal ketika membantu Nuggets meraih kejuaraan NBA pertama mereka pada 2023.
Dia juga sukar untuk dihalang semalam, dengan satu demi satu lontaran jauh yang membawa kepada 30 mata pada separuh masa pertama. Apabila Trail Blazers menukar strategi mereka pada separuh masa kedua, Murray turut menyesuaikan permainan dan berjaya melancarkan serangan. Murray menamatkan perlawanan dengan 20 daripada 36 percubaan, termasuk tujuh lontaran tiga mata. Ia merupakan jumlah mata ketiga terbanyak dalam sejarah NBA, selepas rekod David Thompson 73 mata pada 9 April 1978 dan 56 mata oleh Jokic pada 7 Disember. Dalam ABA, Spencer Haywood mencatatkan 59 mata untuk Denver Rockets pada 15 April 1970.
“Dia sangat agresif malam ini,” kata jurulatih Nuggets, Michael Malone. “Sebagai jurulatih, sudah tentu melihat salah seorang pemain awda bermain dengan prestasi seperti itu, saya sangat bangga dan gembira untuknya. Dia telah bermain pada tahap yang sangat tinggi untuk kami. Dan malam ini adalah permainan terbaiknya dari segi angka.”
Ledakan mata Murray mengatasi persembahan cemerlang Nikola Jokic yang mencatat 26 mata, 15 rebound dan 10 bantuan untuk triple-double ke-25 musim ini. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P23-2_14022205.jpg)