NEW YORK, 31 OGOS – Pemenang Grand Slam tiga kali, Andy Murray mengkritik Stefanos Tsitsipas kerana taktik membuang masa dalam kebangkitan perlawanan lima set Terbuka AS kelmarin, berkata langkah tersebut mempengaruhi keputusan perlawanan.
Pemain kelahiran Greece yang merupakan pemain pilihan ketiga, Tsitsipas bangkit untuk mengalahkan lawannya dari Scotland berusia 34 tahun, 2-6, 7-6 (9/7), 3-6, 6-3, 6-4 selepas beraksi selama empat jam 39 minit.
Murray dilihat tidak mengucapkan tahniah kepada Tsitsipas selepas pemain Greece tersebut melambat-lambatkan perlawanan, termasuk rehat untuk mendapatkan rawatan dan pergi ke bilik air untuk mengganggu rentak Murray.
“Saya rasakan dia hebat untuk permainan ini,” kata Murray. “Tetapi saya tidak mempunyai masa untuk perkara-perkara seperti itu dan saya hilang rasa hormat terhadapnya.”
Tsitsipas menepis dakwaan Murray. “Jika dia ada yang ingin diperkatakan dia hanya perlu memberitahu saya, kami perlu berbincang untuk memahami apa masalahnya,” kata Tsitsipas. “Saya tidak rasakan yang saya melanggar peraturan. Saya bermain mengikut garis panduan.

“Selagi saya bermain mengikut peraturan dan patuh apa yang dikatakan ATP adalah adil, selebihnya tiada masalah. Saya tiada apa-apa hendak diperkatakan terhadapnya.”
Murray berkata semangatnya menurun selepas penangguhan yang lama oleh Tsitsipas.
“Tiada masalah jika dia meninggalkan gelanggang. Tetapi tempoh yang diambilnya,” kata Murray. “Saya berbincang dengan pasukan saya sebelum perlawanan dan menjangkakannya, bersedia untuk perkara sekiranya tidak memihak kepada anda.
“Anda tidak dapat menghentikan kesan fizikal. Apabila bermain dalam perlawanan mencabar seperti ini, berhenti selama tujuh ke lapan minit, anda mula tenang. Anda boleh bersedia dari segi mental tetapi ia memberi kesan kepada fizikal apabila anda berhenti terlalu lama, beberapa kali semasa perlawanan
“Setiap kali sebelum saya membuat pukulan servis, dia akan minta waktu rehat untuk memeriksa (keadaan kaki kirinya), selepas saya memenangi set ketiga. – AFP