LONDON, 6 Mac – Andy Murray akan meletakkan ‘hati dan jiwanya’ dalam usaha untuk kembali ke sukan tenis professional, kata ibunya, Judy, walaupun dia mengakui masa depan pemain itu tidak jelas.
Pemain berusia 31 tahun itu menjalani pembedahan pinggul pada akhir Januari lalu dalam usaha terakhir untuk mengatasi masalah yang pertama kali menjadi isu serius pada tahun 2017.
Pembedahan tersebut dilakukan terutamanya untuk memperbaiki kualiti hidupnya, dengan Murray mendedahkan dia bergelut untuk memakai stoking dan kasutnya, tetapi juga menawarkan laluan kembali ke sukan itu.
“Dia dalam keadaan baik. Ia tidak lama sejak dia menjalani pembedahan itu dan masa akan menentukannya,” Judy Murray memberitahu Sky Sports.
“Tidak seorang pun tahu bagaimana dia akan pulih dalam jangka masa yang panjang. Dia berada dalam kedudukan yang baik dari segi mental dan kami terus berharap.
“Tetapi jika seseorang boleh melakukannya, dia boleh kerana dia meletakkan hati dan jiwanya terhadapnya seperti yang dilakukannya dalam semua perkara.”
Bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan pada satu persidangan akhbar yang emosi menjelang Terbuka Australia pada Januari lalu bahawa dia merancang untuk bersara selepas Wimbledon tetapi menaruh harapan berikutan kekalahan lima set kepada Roberto Bautista Agut pada pusingan pertama.
Tidak ada pemain yang kembali dari pembedahan yang sama untuk beraksi dalam acara perseorangan tetapi Bob Bryan dari Amerika Syarikat (AS) baru–baru ini kembali dalam pertandingan beregu dan memenangi gelaran Jelajah ATP di Delray Beach pada bulan lalu bersama adiknya Mike.
Bryan berkata di Australia dia tidak lagi merasakan sebarang kesakitan dan menyokong Murray untuk mengikut jejaknya untuk kembali beraksi. – AFP