BRISBANE, Australia, 30 Dis – Andy Murray cuba untuk bangkit semula di Brisbane pada minggu ini selepas sering mengalami kecederaan pada tahun ini dan bintang Sepanyol, Rafael Nadal juga akan beraksi tatkala dia cuba menguji lututnya yang bermasalah menjelang Terbuka Australia nanti.
Kejohanan pembukaan musim itu turut menyaksikan Kei Nishikori dan Grigor Dimitrov turut beraksi ketika mereka membuat persediaan untuk Grand Slam pertama pada tahun depan di Melbourne Park.
Sementara itu, barisan pemain wanita menyaksikan tujuh pemain 10 teratas dunia iaitu juara bertahan, Elina Svitolina, juara Terbuka AS Naomi Osaka, Sloane Stephens, Petra Kvitova, Karolina Pliskova, Kiki Bertens dan Daria Kasatkina.
Pemain nombor dua dunia, Nadal bergelut selepas mengalami kecederaan sepanjang 2018 tetapi turut menikmati kejayaan pada tahun ini.
Dia merangkul gelaran Terbuka Perancis ke-11 pada Jun lalu dan mara ke peringkat separuh akhir di Wimbledon dan Terbuka AS.
Tetapi pada November lalu, dia mengumumkan bahawa dia perlu menjalani pembedahan pada buku lali kanan dan baru sahaja menjalani latihan dua minggu lalu.
Dia membuat penampilan semula pada Kejohanan Tenis Dunia Mubadala di Abu Dhabi tempoh hari tetapi menarik diri daripada perlawanan play off kedudukan ketiga bagi memastikan dia tidak terlalu tergesa-gesa untuk beraksi.
Juara tiga kali Grand Slam, Murray hanya beraksi enam kejohanan pada musim lalu dan tiba di Australia lebih awal untuk membuat persediaan ketika dia meneruskan pemulihan selepas menjalani pembedahan pinggul.
Pemain dari Scotland yang menjuarai gelaran kejohanan Brisbane pada 2012 dan 2013 berkata dia giat menjalankan latihan untuk mengembalikan tahap kecergasan ketika dia merangkul sembilan gelaran pada 2016 dan memegang ranking nombor satu dunia. – AFP
