Murray salahkan Fognini

SHANGHAI, 9 OKT – Andy Murray yang marah menuduh Fabio Fognini menjerit ketika mata genting apabila pemain Britain itu tersingkir dalam tiga set pada kejohanan Masters Shanghai, malam tadi.

Dua pemain itu bertelagah di depan jaring pada hujung perlawanan panas itu yang berlanjutan tiga jam, dengan Murray memberitahu Fognini supaya ‘mengunci mulut’. Fognini, pemain ranking ke-12 dari Itali, menang 7-6 (7/4), 2-6, 7-6 (7/2).

Namun Murray, 32, yang melakukan kemunculan semula selepas pembedahan pinggul Januari lalu berkata, “Seseorang membuat bising, saya tidak tahu siapa yang membuat bising, saya melihat ke arah bunyi bising itu.

“Dia kemudian memberitahu saya, ‘Berhenti melihat ke arah saya, kenapa anda merenung saya?’ Saya baru mahu melakukan pukulan dan seseorang membuat bising.

“Dia kemudian memberitahu saya supaya tidak memandang ke arahnya.

“Bunyi itu datang dari arahnya, yang mana anda dilarang melakukannya, ia melanggar peraturan, ia gangguan, anda tidak patut melakukannya,” ujar Murray. – AFP

Murray meninggalkan gelanggang selepas tewas kepada Fognini di Masters Shanghai, kelmarin. – AFP