Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Murung, cemas, stres: 1 daripada 3 belia S’pura alami kesihatan mental kronik

    SINGAPURA, 26 SEPT – Sebilangan besar belia di Singapura mengalami gejala kemurungan, kebimbangan atau tekanan yang teruk atau sangat teruk, menurut lapor tinjauan seluruh negara mengenai kesihatan mental belia oleh Institut Kesihatan Mental (IMH).

    Hampir satu pertiga daripada golongan muda berumur 15 hingga 35 tahun melaporkan gejala seperti rasa bingung, tegang atau kecewa pada kebanyakan masa, menurut Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan.

    “Melayari kerumitan pada umur remaja adalah cukup mencabar, tetapi golongan muda hari ini bergelut dengan isu unik yang tidak dialami oleh generasi terdahulu,” kata Profesor Madya Swapna Verma, yang mempengerusikan lembaga perubatan IMH dan penulis bersama utama kajian itu.

     “Sebagai contoh, media sosial telah mendedahkan mereka kepada perbandingan yang berterusan, meningkatkan kebimbangan mengenai keterampilan atau bentuk badan.

    Pengguna tidak dikenali dalam talian juga menimbulkan buli siber yang menambah dimensi baru gangguan yang berterusan dan lebih luas.”

    Golongan muda lebih cenderung melaporkan mereka mengalami gejala mental berikut jika mereka telah mengalami buli siber, rasa bimbang tentang bentuk badan mereka atau telah menggunakan media sosial lebih daripada tiga jam sehari, menurut kajian IMH yang terbit 19 September lalu.

    Gambar ANN/The Straits Times

    Kajian epidemiologi melibatkan seluruh negara itu membuktikan kelaziman tanda-tanda murung, bimbang dan stres yang teruk, bersama dengan faktor yang berkait dengannya termasuk buli siber, kebimbangan bentuk badan dan penggunaan media sosial yang berlebihan, serta jurang rawatan dan sumber sokongan untuk belia di negara itu.

    Angka satu pertiga itu sama dengan penemuan kajian penyelidikan lain yang berdasarkan laporan kendiri, menurut Kementerian Kesihatan, Pendidikan, dan Pembangunan Sosial dan Keluarga dalam satu kenyataan bersama.

    Khususnya, gejala murung, bimbang dan stres didapati lazimnya berlaku di kalangan mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun dan dalam kumpulan etnik Melayu.

    Antara Oktober 2022 dan Jun 2023, sejumlah 2,600 warga Singapura dan penduduk tetap melengkapkan satu set soal selidik dalam tablet yang disediakan oleh penemuduga. Mereka menerima bayaran $50 untuk melengkapkan soal selidik berkenaan.

    Mereka juga melalui beberapa skala ujian, termasuk Skala Murung, Bimbang dan Stress, satu set tiga skala pelaporan diri yang direka untuk mengukur keadaan emosi kemurungan, kebimbangan dan tekanan yang dialami oleh individu pada minggu sebelumnya.

    Gambar Freepik

    Kajian belia mendapati bahawa rasa bimbang adalah masalah kesihatan mental yang paling biasa dialami oleh golongan muda di Singapura. Kira-kira satu daripada empat dilaporkan mengalami tanda-tanda rasa bimbang yang teruk atau sangat teruk dalam seminggu sebelum tinjauan. Ini termasuk perasaan bimbang, tegang dan resah pada kebanyakan masa.

    Kira-kira 15 peratus belia Singapura mengalami tanda-tanda murung pada tahap yang sama, manakala hampir 13 peratus sangat tertekan, tidak dapat berehat, atau berasa kecewa atau mudah marah pada kebanyakan masa dalam seminggu sebelum tinjauan.

    Apa yang positif adalah kira-kira dua daripada tiga daripada mereka yang dilaporkan mengalami simptom kesihatan mental yang teruk atau sangat teruk telah meminta bantuan, terutamanya dengan pergi ke keluarga dan rakan-rakan.

    Satu daripada tiga belia pula tidak mendapatkan bantuan, walaupun mengalami tanda-tanda yang teruk atau sangat teruk. Prof Swapna berkata ini memberi peluang kepada IMH untuk mencari jalan membuat campur tangan atau langkah intervensi awal, termasuk melihat memperkukuh kurikulum kesihatan mental di sekolah.

    Mereka yang memilih untuk tidak mendapatkan bantuan berkata mereka tidak percaya bahawa pakar akan dapat membantu mereka, atau mereka bimbang tentang pendapat orang lain tentang mereka. Satu lagi kebimbangan adalah tentang privasi, kerahsiaan dan mempunyai rekod yang buruk dan kekal tentang keadaan mereka.

    Kajian itu juga mendapati bahawa golongan muda yang kurang berkemungkinan mengalami gejala murung, bimbang dan/atau stres mempunyai tahap daya tahan yang lebih tinggi, tanggapan sokongan sosial dan harga diri yang lebih tinggi.

    Gambar Unsplash

    Walaupun tidak semua individu yang mengalami tanda-tanda tersebut menderita sakit secara klinikal, namun berada dalam keadaan sedemikian untuk jangka masa yang lama boleh memudaratkan mereka, kata Prof Swapna.

    Dengan mengenal pasti kumpulan yang lebih berisiko untuk mengalami gangguan kesihatan mental, penemuan kajian ini akan membolehkan penggubal dasar dan penyedia perkhidmatan untuk membangunkan pendekatan yang lebih disasarkan dalam menangani keperluan mereka dan menghalang mereka daripada mengalami penyakit mental, tambahnya.

    Kajian IMH ini, seperti kebanyakan yang lain, menunjukkan bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan adalah kebimbangan dalam kesihatan awam dan mempunyai kesan yang besar terhadap kesihatan mental belia, kata Profesor Madya Mythily Subramaniam, penolong pengerusi lembaga perubatan (penyelidikan) di IMH dan penyiasat utama bersama kajian.

    Penyelidikan di seluruh dunia mendapati bahawa remaja yang menghabiskan lebih daripada tiga jam setiap hari di media sosial mungkin berisiko tinggi untuk masalah kesihatan mental, terutamanya gangguan mood dan rasa bimbang, katanya.

    Pengenalpastian faktor penting yang berkaitan, seperti penggunaan media sosial yang berlebihan, kebimbangan bentuk badan dan buli siber, juga menekankan kepentingan menyepadukan langkah pencegahan ke dalam perkhidmatan sekolah dan belia, tambahnya.

    “Tambahan lagi, ketiga-tiga faktor itu mungkin berpotensi untuk dikaitkan antara satu sama lain. Masa yang dihabiskan orang muda di media sosial juga boleh dikaitkan dengan buli siber dan kedua-duanya boleh berkait dengan kebimbangan bentuk badan,” katanya.

    Kajian IMH dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Chat (Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Belia) dan Sekolah Kesihatan Awam NUS Saw Swee Hock.

    Dalam siaran media yang pelbagai, kerajaan berkata bahawa penemuan daripada kajian itu mengesahkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan masyarakat untuk menangani isu kesihatan mental dalam Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Kebangsaan yang dilancarkan oleh Kerajaan pada Oktober 2023.

    Banyak langkah di bawah strategi itu telah pun dilaksanakan, manakala langkah lain akan dilaksanakan secara progresif dalam beberapa tahun akan datang.

    Sebagai contoh, pelajar sekolah melalui kurikulum sekolah mereka dengan pengetahuan dan kemahiran mengurus kesejahteraan mental mereka sendiri.

    Gambar Freepik

    Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan tentang perkara seperti mengurus penggunaan skrin daripada program Parenting for Wellness yang mana fasa pertama sumber itu telah dilancarkan pada 18 September, kata keluaran bersama itu.

    Gambar Freepik

    Tambahan pula, pada separuh pertama 2025, panduan mengenai penggunaan teknologi dan media sosial yang sihat, dan untuk memberikan cadangan tentang cara mengurangkan kesan negatif akan disediakan, katanya. – ANN/The Straits Time

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda