Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Haji Mohammad Eddy Huzaimi bin Haji Mat Yassin dari Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dayang Ratinah binti Hidup dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan masing-masing muncul johan qari dan qariah Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya sempena Sambutan Israk dan Mikraj Tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi.
Naib johan bagi Kategori Qari disandang oleh Haji Abdullah bin Pengarah Haji Basi dari Jabatan Perkhidmatan Bangunan, JKR dan Awang Mohammad Yusrin bin Daud dari Jabatan Ukur di tempat ketiga. Sementara itu, Dayang Siti Nurul Fa’izah binti Awang Hamdan dari Jabatan Mekanikal dan Elektrikal, JKR pula diumumkan sebagai naib johan bagi Kategori Qariah.
Hadir menyempurnakan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Indra Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan itu ialah Pemangku Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar.
Majlis berkenaan antara lain diadakan bagi memperingati peristiwa Israk dan Mikraj di samping sebagai galakan supaya akan terus mempelajari dan menguasai bacaan Al-Quran serta menggalakkan para peserta untuk sentiasa mengamalkan bacaan Al-Quran supaya menjadi amalan harian dan beroleh berkat dari Allah S.W.T.

Selain itu, majlis juga bertujuan untuk menambah keyakinan pegawai dan kakitangan kerajaan, khususnya Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama pegawai dan kakitangan.
Seramai lapan orang peserta lelaki dan perempuan mengikuti pertandingan berkenaan pada peringkat saringan, yang diadakan pada 20 April bagi Kategori Qari. Hanya tiga orang peserta lelaki dan tiga orang peserta perempuan berjaya memasuki peringkat akhir yang berlangsung hari ini.
Majlis seterusnya diserikan dengan ceramah keagamaan Sempena Sambutan Israk dan Mikraj bertajuk ‘Iman’ yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman.
Ketika ditemu bual, Dayang Norhayati berkata, inti pati ceramah berkenaan menyentuh mengenai iman, kerana iman merupakan pegangan kita sebagai umat Islam dan ia merupakan punca kebahagiaan kita bukan sahaja di dunia akan tetapi di akhirat.
Dengan adanya iman, ujar beliau, ia juga akan dapat mendorong kita untuk melakukan amalan-amalan kebaikan dan jika tidak beriman, kita akan alpa atau lupa diri.