Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong (B), masing-masing diumumkan sebagai johan dalam Musabaqah Membaca Al-Quran secara Murattal Berkumpulan bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara hari ini.
Masing-masing diumumkan sebagai johan kumpulan pelajar lelaki dan kumpulan pelajar perempuan Kelas Al-Quran dan Muqaddam pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan adalah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Tempat kedua dan ketiga bagi kumpulan pelajar lelaki Kelas Al-Quran dan Muqaddam ialah Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong (B) dan Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Sementara tempat kedua dan ketiga bagi kumpulan pelajar perempuan adalah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang.
Antara lain tujuan pertandingan adalah untuk melahirkan generasi kanak-kanak yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna, serta menjadikannya sebagai satu amalan harian.
Di samping mencungkil bakat kanak-kanak Kelas Al-Quran dan Muqaddam, ianya juga untuk menarik minat lebih ramai golongan muda mengikuti pelbagai aktiviti masjid supaya masjid menjadi pusat penyebaran dakwah kepada masyarakat umum.
Majlis tersebut diteruskan dengan penyampaian hadiah oleh tetamu kehormat majlis kepada pemenang Musabaqah Membaca al-Quran bagi Kelas Bimbingan Tarannum Al-Quran yang mana pertandingan telah diadakan sebelum ini di masjid berkenaan.
Turut hadir di majlis itu ialah Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameera Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong, Dato Paduka Haji Abdul Razak bin Haji Mohammad,
Pertandingan berkenaan dianjurkan bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.