Thursday, February 20, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musabaqah peringkat saringan bermula

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Seramai 306 orang akan memperdengarkan bacaan masing-masing dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Saringan Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini.

    Pertandingan berlangsung di Bilik Mesyuarat Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS Blok 2H, Tingkat 7 dan 8, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping di ibu negara.

    Seperti tahun sebelumnya, musabaqah berkenaan dibahagikan kepada lima kategori dan akan diadakan dalam tiga peringkat iaitu peringkat saringan kebangsaan, peringkat separuh akhir kebangsaan dan peringkat akhir kebangsaan.

    Kategori A adalah menghafaz juz 30 berserta pemahamannya dan terbuka kepada peserta yang lahir pada 2011 dan selepasnya (13 tahun ke bawah).

    Johan dua kali berturut-turut dalam kategori berkenaan hanya boleh menyertai musabaqah ini selepas dua tahun menjadi johan dan bukan terdiri daripada penuntut sepenuh masa institusi pengajian tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara semasa mendaftar atau menghantar permohonan serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori B, C, D dan E.
    Kategori B pula menghafaz surah-surah pilihan iaitu Surah Luqmaan; Surah As-Sajdah; Surah Yasin; Surah Ar-Rahmaan; Surah Al- Waqi’ah; Surah Al-Jumu’ah; Surah Al-Mulk; Surah Al-Jinn dan Surah Al-Insan, berserta pemahaman Surah Al-Qasas dan Surah Al-‘Ankabut.

    Ia terbuka kepada peserta yang lahir pada 2009 dan sebelumnya (14 tahun ke atas), bukan penerima elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam semua kategori tasmie’ semasa tarikh tutup borang penyertaan.

    Johan dua kali berturut-turut bagi kategori berkenaan hanya boleh menyertai musabaqah selepas dua tahun (dari tahun kedua) menjadi johan dan bukan terdiri daripada penuntut sepenuh masa institusi pengajian tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara semasa mendaftar serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori C, D dan E.
    Bagi Kategori C, peserta menghafaz Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-‘Imraan berserta pemahaman Surah Yunus dan Surah Hud, serta terbuka kepada semua peringkat umur dan bukan penerima elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam semua kategori tasmie’ semasa tarikh tutup borang penyertaan.

    Johan dua kali berturut-turut bagi kategori berkenaan hanya boleh menyertai musabaqah itu selepas dua tahun menjadi johan dan tidak pernah menjadi johan dalam kategori D dan E.

    Kategori D pula menghafaz 15 juz Al-Quran iaitu dari juz 1 hingga juz 15 berserta pemahaman Surah Saba’; Surah Fathir dan Surah Yasin dan terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam kategori 30 juz.

    Peserta memperdengarkan bacaan mereka pada Peringkat Saringan Kebangsaan.

    Johan dua kali berturut-turut hanya boleh menyertai musabaqah selepas dua tahun (dari tahun kedua) menjadi johan itu dan tidak pernah menjadi johan dalam kategori E.

    Manakala itu, kategori E menghafaz 30 juz Al-Quran iaitu daripada juz 1 hingga juz 30 berserta pemahaman Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah, serta terbuka kepada semua peringkat umur. Johan dua kali berturut-turut hanya boleh menyertai musabaqah ini selepas dua 2 tahun (dari tahun kedua) menjadi johan itu.

    Musabaqah berkenaan merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS bagi menyemarakkan lagi hari-hari kebesaran Islam dan merupakan antara pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan pada setiap tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda